Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Kulim-Bandar Baharu sedia menghadapi pilihanraya kecil di parlimen tersebut jika mahkamah minggu depan mendapati kemenangan calon PKR, Zulkifli Nordin dalam pilihanraya umum lalu tidak sah.

Bekas calon parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Aziz Sheik Fadzir berkata, Umno bahagian lebih kuat berbanding semasa pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Secara keseluruhan, katanya, krisis kepimpinan Umno telah selesai apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan beliau akan menyerahkan kepemimpinan parti dan negara kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

bm version bandar kulim bharu kedah parliament seat results 180708 Timbalan ketua bahagian Baling itu juga menegaskan tiada sebarang perselisihan dalam kepimpinan Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu yang diketuai abangnya Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

"Umno agak lemah pada pilihanraya umum lalu berikutan suasana politik negara dan kemelesetan ekonomi ketika itu," katanya.

Aziz berkata, jika berlaku pilihanraya kecil, pengundi Kulim-Bandar Baharu akan memilih sama ada mereka mahu "seorang bintang yang mencari nama dan kedudukan" atau seorang wakil rakyat yang berkhidmat untuk mereka.

"Orang sudah tahu siapa Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau sedang mencari kedudukan untuk dirinya sendiri.

"Pakatan Rakyat sendiri tidak sekuat mana, malah kehadiran Anwar juga tidak menambah kekuatan kepada gabungan pembangkang itu," katanya.

Beliau berkata, Umno sedia menghadapi Anwar jika ketua umum PKR itu bertanding di parlimen tersebut.

Katanya, Umno bersedia kerana ia terus berkhidmat kepada rakyat parlimen tersebut walaupun calonnya kalah dalam pilihanraya umum kedua belas.

Dalam pilihanraya umum lalu, Aziz kalah kepada Zulkifli dengan majoriti 5,583.

Mengulas kekalahannya, Aziz berkata, ia berlaku kerana beliau tidak menjangka akan bertanding di parlimen tersebut.

"Saya hanya dapat bersama pengundi di kawasan tersebut selama 12 hari, semasa tempoh berkempen," katanya.

ADS