Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasat kandungan akuan Petra
Diterbitkan:  Jul 18, 2008 3:27 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mahu polis memberikan keutamaan siasatan terhadap kandungan akuan berkanun Raja Petra Kamarudin yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan bukannya mendakwa penulis blog terkenal itu.

raja petra kamaruddin arrest at police ipk 170708 04 "Apabila Raja Petra mendedahkan dakwaan itu (dalam akuannya) pada 18 Jun, beliau dengan jelas menyatakan ia bertujuan 'mendesak semua pihak yang mengetahui dan mempunyai maklumat tentang perkara ini agar tampil membongkar kebenaran agar polis boleh menjalankan siasatan perinci pembunuhan Altantuya'," kata penyelarasnya John Liu.

Walaupun isteri Datuk Seri Najib Razak telah menafikan penglibatannya dengan pembunuhan wanita Mongolia itu, tambah Suaram, "tidak wujud sebarang pendedahan tentang siasatan polis mengenai nama-nama yang dikaitkan" dalam akaun berkanun pengendali blog Malaysia Today .

Raja Petra semalam didakwa di mahkamah atas tuduhan memfitnah Rosmah Mansor dan dua orang lagi - Lt Kol. Aziz Buyong yang didakwanya "pakar bahan letupan C4" dan isterinya Lt Kol. Norhayati Hassan, yang dikatakan pengawal peribadi isteri Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan kemudian dibebaskan dengan jaminan RM2,000. Perbicaraan kes itu ditetapkan pada 15 Ogos.

Dalam kenyataannya hari ini, badan pejuang hak asasi manusia itu juga mengecam pendakwaan terhadap penulis popular tersebut.

"Jika polis tidak memanggil individu-individu yang dinamakan oleh Raja Petra dalam akuan berkanunnya, keputusan mendakwanya dengan jenayah memfitnah pada saat ini boleh dianggap setidak-tidaknya, pada saat ini, pramatang," kata Suaram.

"Selagi tiada bukti kukuh menunjukkan dakwaan Raja Petra itu palsu, beliau tidak patut didakwa jenayah memfitnah."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS