Kaedah bertindak polis sewaktu menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai "mata lebam" kedua pasukan itu selepas pengerahan 1,600 anggota dalam sekatan jalan besar-besaran awal minggu ini.
Tokoh utama DAP Lim Kit Siang berkata walaupun perdana menteri memberi jaminan tidak akan berulang kes mata lebam Anwar seperti 1998, tetapi tindakan polis menangkap Anwar sedemikian mencemarkan imej pasukan tersebut.
"Polis menerima satu 'mata lebam' yang dicipta mereka sendiri dengan cara penangkapan Anwar yang sangat provokatif, tidak profesional dan tidak boleh dipertahankan menggunakan komando bertopeng pada 12.55 tengah hari - sewaktu bekas timbalan perdana menteri itu telah berjanji akan melapor diri kepada polis jam 2 petang," katanya hari ini.
Tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya besar-besaran pada Isnin - dengan alasan ingin menyekat perhimpunan penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat - menyebabkan kesesakan luar biasa di sekitar ibu kota.
Anwar bagaimanapun menafikan menganjurkan sebarang perhimpunan sewaktu ada usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikemukakan oleh ahli-ahli parlimen Pakatan - usul itu bagaimanapun ditolak oleh yang dipertua Dewan Rakyat.
Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur menambah, tiada seorang pun peserta perhimpunan haram wujud pada hari itu dan tindakan polis yang menyusahkan orang ramai memburukkan lagi imejnya sewaktu kewibawaan pasukan itu sering dipertikaikan oleh masyarakat.
Sementara itu, Pemuda PAS pula menyifatkan siasatan dakwaan liwat terhadap Anwar sebagai percubaan untuk menghalang penasihat PKR daripada mengambil alih kerajaan persekutuan, kata ketuanya Salahuddin Ayub.
"Dewan Pemuda PAS melihat bahawa kerajaan BN sengaja memanipulasikan isu liwat ini untuk menyekat Anwar daripada meneruskan usahanya mengambil alih kerajaan daripada BN," katanya hari ini.
"BN kini benar-benar tergugat kerana Anwar telah mengumumkan beberapa lagi wakil rakyat BN akan melompat dan beliau sendiri akan bertanding dalam pilihanraya dalam masa terdekat ini."
Selain menuduh polis telah diperalatkan untuk berbuat demikian sewaktu menangkapnya "secara keras" dan "di luar batas kemanusiaan", ahli parlimen Kubang Kerian juga berkata siasatan itu satu helah BN menghalang Anwar bertanding dalam satu pilihanraya kecil.
"BN hanya mencari helah supaya Anwar tidak dapat bertanding dan menggunakan isu liwat ini untuk menahan Anwar, sekali gus menyekat gerakan pembaharuan politiknya. Ini adalah satu pendekatan yang kotor dan tidak bermaruah, bahkan sama sekali menyalahi semangat demokrasi," katanya dalam satu kenyataan.