Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin ditahan hari ini dan didakwa di mahkamah atas tuduhan memfitnah isteri timbalan perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan dua orang lagi.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

raja petra kamaruddin arrest at police ipk 170708 04 Raja Petra bagaimanapun enggan membuat sebarang pengakuan sama ada 'bersalah' atau 'tidak bersalah' terhadap tuduhan tersebut.

Beliau berkata berulangkali bahawa beliau enggan berbuat demikian kerana mendakwa tuduhan tersebut mengandungi kecacatan dan berniat jahat.

Pihak pendakwaraya bagaimanapun menganggapnya sebagai pengakuan 'tidak bersalah' dan memohon Majistret Nazran Mohd Sham membenarkan ikatjamin sebanyak RM10,000.

Peguam J Chandra pula berhujah meminta supaya jumlah ikatjamin itu dikurangkan kepada RM5,000 tetapi Raja Petra tidak bersetuju.

Beliau kemudiannya cuba memecat peguamnya sendiri supaya beliau dapat berhujah mewakili dirinya sendiri di mahkamah.

Chandra kemudiannya meminta sidang mahkamah ditangguhkan supaya beliau dapat berbincang dengan pelanggannya itu.

Selepas 15 minit, mahkamah kemudiannya disambung semula di mana peguam Raja Petra berhujah memohon mahkamah membenarkan beliau diikatjamin diri sendiri.

Bagaimanapun, pihak pendakwaraya membantah dan mahkamah akhirnya memutuskan supaya Raja Petra dibenar ikatjamin sebanyak RM2,000.

raja petra kamaruddin arrest at police ipk 170708 01 Pada mulanya, Raja Petra enggan membayar ikatjamin tersebut sehingga isterinya Marina Lee Abdullah (kanan) terpaksa memujuk beliau selama kira-kira 10 minit.

Hanya selepas itu, barulah Raja Petra bersetuju beliau diikatjamin.

Dua bulan lalu, apabila Raja Petra didakwa dengan tuduhan hasutan kerana menyiarkan artikel bertajuk 'Let's send the Altantuya murderres to hell' dalam lamanwebnya Malaysia Today , dia enggan diikat jamin.

Dia bagaimanapun bersetuju diikat jamin tiga hari kemudiannya setelah bermalam di Penjara Sungai Buloh.

Pada 18 Jun lalu, Raja Petra membuat akuan berkanun yang mengaitkan Rosmah dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut seksyen 500 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, sesiapa yang memfitnah orang lain, boleh dihukum penjara bagi tempoh yang boleh melebihi dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, Raja Petra tiba di ibupejabat polis (IPK) Kuala Lumpur dengan ditemani oleh isterinya dan dua orang peguam.

Raja Petra dan peguamnya masuk ke IPK Kuala Lumpur pada jam 10 pagi di mana beliau ditahan dan dibawa ke mahkamah.

raja petra kamaruddin arrest at police ipk 170708 07 Dalam akuan berkanunnya bertarikh 18 Jun lalu, Raja Petra turut menamakan dua orang lagi - pemangku Kolonel Aziz Buyong, yang disifatkan sebagai 'pakar C4' dan isterinya yang hanya dikenali sebagai Norhayati (Hassan), yang dikatakan pegawai pengiring Rosmah.

Beliau mendakwa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima maklumat tentang pembabitan tiga individu itu, termasuk Rosmah, dan menyerahkan laporan perisikan kepada menantunya dan juga naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Rosmah telah menafikan dakwaan tersebut. Manakala pada 27 Jun lalu, Lt Kol. Aziz dan isterinya Norhayati Hassan dilaporkan menuntut Raja Petra membayar RM1 juta kerana menfitnah mereka dan juga menarik balik akuan itu dari blognya.

ADS