Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Calon jawatan-jawatan utama di peringkat Majlis Tertinggi (MT) Umno dibenarkan berkempen dalam majlis kempen atau penerangan di bawah seliaan dan pengawasan ibupejabat Umno.

Manakala kempen di peringkat bahagian pula, akan diselia oleh Badan Perhubungan Umno negeri.

Ini adalah antara kandungan tata etika pemilihan parti yang dikemaskini oleh Jawatankuasa Perlembagaan Umno.

Pengerusi Lembaga Displin Umno Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen berkata, semua pemimpin dan ahli Umno perlu mematuhi peraturan dan tata etika parti yang baru itu.

Katanya, selain majlis yang dianjurkan oleh pihak yang dinyatakan dalam peraturan itu, ahli Umno dilarang menganjurkan sebarang perhimpunan atau majlis secara langsung atau tidak langsung sepanjang tempoh pemilihan.

Katanya, calon tidak dibenarkan menghadiri atau menganjurkan majlis seperti kenduri kahwin, tahlil atau kesyukuran yang dihadiri oleh ahli Umno dan berucap bagi meraih undi serta berkempen bagi pihaknya sendiri atau pihak lain.

"Jika tujuan diadakan kenduri atau perjumpaan sebagai helah nak beri peluang pada mereka (calon) semata-mata untuk berkempen dan jika dapat dibuktikan, ini adalah merupakan satu kesalahan," katanya.

Selain itu, bakal calon juga ditegah menggunakan khidmat ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi.

Tengku Ahmad Rithaudeen berkata pengadu yang telah membuat aduan dan saksi yang telah memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin, tetapi menarik kembali aduan tanpa alasan munasabah sedangkan aduan itu mempunyai kebenaran, boleh dihukum mengikut peruntukan dalam tataetika.

"Jika aduan ditarik balik oleh si pengadu atau saksi menarik kembali keterangan kerana disogokkan dengan imbuhan dan ganjaran atau janji berbentuk material, kedua-dua pihak boleh dikenakan tindakan," katanya.

Sejak tahun lalu sehingga semalam, lembaga disiplin menerima 93 aduan salahlaku yang membabitkan pelbagai kesalahan dengan 35 aduan berkaitan salahlaku etika manakala 58 aduan pula berkaitan mensabotaj pilihan raya.

Daripada aduan yang diterima itu, 31 aduan sedang disiasat, tiada tindakan lanjut (30), belum menjalankan siasatan (15), perlu dokumen tambahan (enam), aduan di luar bidang kuasa lembaga (lima), aduan baru (empat) dan dalam pemerhatian (dua), katanya.

ADS