Penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung tuduhan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, adalah sesuatu amalan biasa dalam siasatan kes jenayah dan
dibuat mengikut proses undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata adalah menjadi amalan kepada semua pihak termasuk Anwar, selaku tertuduh untuk tampil dan memberikan keterangan bagi membolehkan polis membuat siasatan secara adil.
"Polis tahu apa yang mereka lakukan dan polis hanya jalankan tanggungjawab bagi menyiasat kes ini," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang petang ini dari Brunei.
Menurut Bernama, Musa pulang ke tanahair selepas menerima anugerah pingat kebesaran Sultan Brunei bergelar Datuk Seri Pahlawan semalam.
Musa juga menasihati penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya tidak membuat sebarang kekecohan ekoran perkembangan terbaru itu.
"Saya amat berharap mereka (penyokong PKR) tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang.
"Jika ada pihak yang sengaja membuat kekacauan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.
Polis pantau keadaan
Musa juga telah mengarahkan anggotanya untuk membuat pemantauan bagi memastikan keadaan terkawal.
Sementara itu, PKR menerusi Biro Penerangannya mengeluarkan kenyataan meminta supaya penyokong parti itu bertenang berikutan penangkapan Anwar.
Terdahulu, peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu wartawan bahawa Anwar kini ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat.
Katanya jika perlu Anwar akan dikenakan perintah reman selam 24 jam atau tidak melebihi 14 hari bagi membantu siasatan.
Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohd Saiful, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lalu mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lalu.