Polis mengeluarkan waran tangkap terhadap penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin berhubung siasatan akaun berkanunnya yang mengaitkan isteri timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Raja Petra dikehendaki hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 10 pagi esok.
Peguam pengendali Malaysia Today menerima waran itu pagi ini dan
Raja Petra mengesahkan perkara itu dengan polis petang ini, kata isterinya Marina Lee Abdullah.
Dalam akuan berkanunnya bertarikh 18 Jun lalu, Raja Petra menuduh Rosmah antara tiga individu yang berada di tempat kejadian ketika wanita Mongolia itu dibunuh pada 19 Oktober 2006.
Katanya, beliau mendapat maklumat yang boleh dipercayai bahawa antara kira-kira jam 10 malam 19 Oktober 2006 dan awal pagi berikutnya, malam mangsa dibunuh, terdapat dua orang lagi di tempat kejadian.
Beliau menamakan dua individu itu sebagai seorang kolonel, yang menurutnya pakar bom 'C4' dan isterinya yang dikatakan pengawal peribadi Rosmah.
Laporan perisikan
Mayat Altantuya ditemui telah hancur dibom dengan 'C4' di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam. Kes perbicaraan pembunuhannya masih berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Dalam akuan itu, Raja Petra mendakwa kolonel itu yang memasang bom C4 di beberapa tempat di badan Altantuya, dengan disaksikan oleh Rosmah dan pengawal peribadinya.
Raja Petra mendakwa lagi, beliau membuat akuan itu kerana beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai mengenai pembabitan orang-orang berkenaan yang sehingga ini belum dikaitkan atau dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaraya dalam kes perbicaraan kes tersebut.
Penulis blog sensasi itu berkata, beliau juga membuat akuan bersumpah tersebut kerana beliau sedar bahawa menjadi kesalahan jika tidak mendedahkan bukti-bukti yang boleh membantu polis dalam siasatan kes jenayah.
Datuk Seri Najib Razak dan isterinya menafikan pembabitan mereka dengan Altantuya dan kes tersebut seperti dakwaan Raja Petra.
Pada 27 Jun lalu, Lt Kol. Aziz Buyong dan isterinya Lt Kol. Norhayati Hassan dilaporkan menuntut Raja Petra membayar RM1 juta kerana menfitnah mereka dan juga menarik balik akuan itu dari blognya.
Rosmah, Aziz dan Norhayati telah disiasat polis penghujung bulan lalu.