Tiga jurugambar dipukul oleh petugas keselamatan ketika mahu keluar dari bilik media massa di tingkat dua bangunan lama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tempat berlangsungnya debat bersejarah isu kenaikan harga minyak malam ini.
Debat selama sejam itu menyaksikan pertikaman hujah antara ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menteri penerangan Datuk Datuk Shabery Cheek malam ini.
Kekecohan berlaku apabila petugas media tersebut dikunci dari luar, menyebabkan mereka marah kerana tidak dapat keluar.
Difahamkan bilik tersebut dikunci oleh petugas keselamatan untuk memberi laluan kepada tetamu VIP meninggalkan dewan itu terlebih dahulu.
Apabila keadaan menjadi kecoh, seorang petugas keselamatan - dipercayai dari pihak penganjur Agendadaily.com - datang membuka pintu bilik tersebut.
Ketika itu, seorang petugas keselamatan didakwa telah membentes kaki seorang jurugambar yang sedang turun tangga, menyebabkan dia tersungkur.
Ekoran itu, berlaku pergaduhan antara jurugambar berkenaan dan dibantu oleh petugas yang lain, dengan petugas keselamatan dan rakan-rakannya.
Keadaan ini menyebabkan anggota polis datang dan membantu membawa jurugambar keluar dari situ, sehingga ke luar kawasan lobi.
Apabila mereka sampai di luar, dengan diiringi oleh beberapa anggota polis, petugas keselamatan berkenaan meluru dan memukul jurugambar berkenaan.
Polis meleraikan keadaan sehingga semua petugas media keluar dari tempat tersebut.
Dua jurugambar tersebut dikenali sebagai Khairul Hasnor Mohamad Khalili dari The Edge dan Zulkifli Ersal dari The Sun . Seorang lagi ialah Halim Berber dari SIPA Press dari Perancis.
Ketika ditemui, Zulkifli berkata, petugas keselamatan tersebut menendangnya di bahagian perut.
Difahamkan mereka mereka membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. Turut membuat laporan ialah Hanafiah Hamzah dari Channel News Agency (CNA).
Sementara itu di luar dewan debat, kira-kira 200 berkumpul dengan harapan dapat masuk untuk mengikuti dengan dekat perdebatan bersejarah itu.
Mereka, termasuk hampir 50 penyokong Angkatan Muda PKR, berkumpul sebelum jam 9 malam lagi sehingga setengah jam selepas tamat perdebatan itu.
Selepas gagal menyertainya - kerana penonton yang dibenarkan masuk hanya yang memilik pas khas - mereka menonton siaran langsung melalui televiyen di warung di penjuru luar dewan tersebut.
Kira-kira 50 anggota polis, termasuk trafik, mengawal keadaan di luar pagar Dewan Bahasa dan Pustaka.