Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar rela disiasat selepas kata dua
Diterbitkan:  Jul 15, 2008 2:09 PM
Dikemaskini: 3:29 PM

kemaskini 9:31pm Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan tempoh sehingga 2 petang esok untuk memberikan keterangan kepada polis atau menghadapi sebarang tindakan, termasuk kemungkinan ditahan.

Polis juga memberi amaran kepada mana-mana pihak termasuk penyokong bekas timbalan perdana menteri itu yang cuba menghalang polis menjalankan tugasnya.

Perkara itu ditegaskan oleh pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin dalam sidang media di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebentar tadi.

"Polis akan ambil tindakan undang-undang jika beliau tidak hadir dan sesiapa yang menghalang kerja kami akan dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan," katanya.

bakri zinin police cid chief p balasubramaniam pc 100708 01 Mengulas tentang laporan peguam Anwar, Sankara Nair yang menyatakan bahawa anak guamnya sedang menunggu surat perintah 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk hadir ke IPK, Mohd Bakri berkata:

"Anwar sepatutnya hadir ke IPKKL setelah memberi persetujuan untuk hadir semalam. Ini adalah kes beliau.

"Beliau yang sepatutnya hadir berjumpa dengan polis dan bukan polis yang datang kepadanya untuk diambil keterangan."

Ditanya sama ada polis mengamalkan pilih kasih kepada Anwar kerana tidak terus menahannya setelah laporan dibuat oleh pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pegawai polis itu berkata ia bergantung kepada siasatan dan polis tidak boleh mengambil tindakan secara melulu.

"Itu (pilih kasih) hanyalah andaian orang ramai. Kita tidak pernah memberikannya kerana kita mengikut proses undang-undang dan bersikap profesional," katanya, lapor Bernama .

Polis menjamin akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak, pengadu kes itu dan juga Anwar.

Ditanya sama ada Anwar merupakan saksi terakhir bagi siasatan kes tersebut yang disiasat menurut Sekyen 377 Kanun Keseksaan, Mohd Bakri berkata ia bergantung kepada siasatan.

anwar ibrahim press conference 030708 03 Sekiranya terdapat saksi baru, polis akan memanggil saksi tersebut untuk memberi keterangan.

Sementara itu, lebih sejam selepas kata dua polis ini, Anwar menyatakan kesediaan memberikan kerjasama kepada polis.

Anwar akan ke IPK Kuala Lumpur esok jam 2 petang, kata peguamnya.

"Kami akan pergi esok pada 2.00 petang. Bermaksud anak guam dan peguam yang mewakilinya," katanya.

Dalam sidang media kira-kira 3 petang, Sankara berkata beliau telah menerima surat daripada pegawai penyiasat DSP Jude Pereira tentang perkara tersebut tengah hari ini.

Surat itu meminta Anwar hadir ke IPK Kuala Lumpur untuk membantu siasatan. Menurut surat itu lagi, waran tangkap terhadap Anwar telah dikeluarkan.

Sankara berkata surat itu mengelirukan kerana tidak jelas sebab waran dikeluarkan sama ada tuduhan ke atasnya atau disebabkan gagal hadir memberi keterangan.

Beliau menambah, pegawai polis itu juga menyatakan waran tangkap telah dikeluarkan kepada Anwar, sebagai seorang suspek kes tersebut.

"DSP Jude berkata beliau (Anwar) seorang suspek dan mungkin akan ditahan," kata Sankara, "Itu yang dia cakap dan saya tak boleh ulas lebih."

sankara pc on anwar 150708 01 Ditanya tentang reaksi beliau dan Anwar apabila mendapati waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan, Sankara berkata:

"Kami akan ikut. Ini undang-undang. Dari hari pertama kami telah bekerjasama."

Mengulas sama ada Anwar bersedia menjalankan ujian DNA untuk membuktikannya tidak bersalah, Sankara berkata ia "masih terlalu awal" dan beliau "belum berbincang dengan anak guamnya".

Menjawab soalan tindakannya jika Anwar ditangkap, Sankara berkata:

"Mereka (polis) sudah tentu mahu mereman dan soal siasat. Itu akan berlaku. Sebagai peguam, kami mohon hadir dalam setiap tahap (siasatan) dan kami akan patuh."

Esok, sebelum ke IPK, Anwar akan memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya berikutan aduannya berhubung pemalsuan laporan berkaitan kes beliau ditumbuk Tan Sri Rahim Noor, waktu itu ketua polis negara, pada 1998.

Anwar menamakan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai dua pegawai tinggi kerajaan yang terlibat.

Sidang media peguam itu yang diadakan di kediaman Anwar di Segambut Dalam, Kuala Lumpur bagaimanapun tidak disertainya - dipercayai sedang membuat persediaan debat isu kenaikan harga minyak malam ini.

Penasihat PKR itu tidak hadir di IPK tersebut untuk disoal siasat jam 2 petang semalam seperti beliau janjikan Sabtu lalu.

Keputusannya itu diambil sebagai membantah tindakan polis "mengganggu" kakitangan dan ahli keluarganya kelmarin walaupun Anwar bersedia hadir secara sukarela.

Akibat keengganan Anwar, Mohd Bakri semalam berkata polis sedang mengenal pasti langkah-langkah sesuai untuk merakam percakapan tokoh pembangkang itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS