Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar enggan temui polis 2 petang
Diterbitkan:  Jul 14, 2008 11:57 AM
Dikemaskini: 3:17 PM

kemaskini 9:58pm Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan hadir di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk disoal siasat bagi dakwaan kes liwat seperti yang beliau janjikan Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguamnya Sankara Nair berkata keputusan terbaru penasihat PKR itu diambil kerana polis "mengganggu" kakitangan dan ahli keluarganya semalam walaupun Anwar bersedia hadir secara sukarela.

"Gangguan" polis itu sewaktu pihak berwajib cuba menyerahkan arahan hadir memberi keterangan bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

"Tindakan (polis) ini sama sekali tidak diperlukan memandangkan kami telah menyatakan dalam persetujuan awal bahawa anak guam kami akan hadir di IPK Kuala Lumpur jam 2 petang hari ini," kata Sankara, dalam satu kenyataan ringkas pagi ini.

"Anak guam kami membantah tindakan tidak wajar polis itu dan telah mengirim surat menyatakan bantahan itu kepada polis semalam jam 5 petang."

Anwar didakwa meliwat pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan dalam satu laporan polis yang dibuat pemuda itu pada 28 Jun.

Akibat keengganan Anwar, polis sedang mengenal pasti langkah- langkah sesuai untuk merakam percakapan bekas timbalan perdana menteri itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin berkata polis bersiap sedia sejak pagi untuk merakamkan keterangan daripada Anwar.

Mohd Bakri berkata polis sedang memikirkan beberapa pilihan lain untuk mengambil tindakan terhadap Anwar jika gagal hadir memberikan keterangan.

"Ada tiga atau empat opsyen yang akan diambil terhadap Anwar mengikut prosedur perundangan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Mengulas dakwaan Nair bahawa pihaknya telah menghantar surat melalui faksimili petang semalam untuk memaklumkan ketidakhadiran Anwar pada hari ini, Mohd Bakri berkata beliau sehingga petang tadi tidak menerima surat tersebut.

Sebagai reaksi segera terhadap kenyataan pegawai tinggi polis itu, peguam Anwar lewat petang ini mengirim surat kepadanya.

Dalam surat tersebut, firma guaman itu menyatakan salinan surat tersebut seharusnya diserahkan secara langsung kepada Anwar dan bukan melalui pihak-pihak lain.

"Sebagai peguam, kami dapati bahawa tindakan pihak polis meninggalkan sesalinan perintah di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah seperti yang telah diperkatakan oleh pihak polis (sekiranya tepat) kepada salah seorang yang berada di rumah anak guam kami adalah tidak sempurna atau teratur mengikut seksyen tersebut yang mengkehendaki perintah tersebut diserahkan secara kediri anak guam kami," surat itu, yang diedarkan kepada media, dipetik.

"Anggapan pihak polis - bahawa perintah tersebut telah diserahkan kepada anak guam kami adalah sah di sisi undang-undang - adalah tidak tepat."

Peguamnya juga menyatakan polis boleh menyerahkan secara langsung surat bahawa Seksyen 111 itu secara langsung kepada Anwar di rumahnya.

"Anak guam kami sedang menunggu perintah tersebut diserahkan kepadanya secara kediri pada bila-bila masa," kata Sankara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS