Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: P'raya 2008 bukan satu tragedi
Diterbitkan:  Jul 12, 2008 4:28 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu menyimpan pelbagai rahmat apabila berjaya mendidik Barisan Nasional (BN) untuk tabah menerima erti kegagalan dan kekecewaan dalam usaha murni berjuang untuk rakyat.

Perdana Menteri berkata keputusan yang menyaksikan kemerosotan BN itu bukanlah satu tragedi yang perlu diratapi selama-lamanya dan sebaliknya semua pihak dan parti komponen BN perlu bangkit mulai sekarang untuk memperkukuhkan perjuangan dan usaha mendekati rakyat.

mic 62 agm 120708 abdullah smile "Apa yang berlaku, telahpun berlaku. Apa yang penting ialah reaksi kita selepas itu dan apa yang patut kita lakukan selepas itu.

"Kalau kita tidak sedia melihat perkara ini sebagai satu pengajaran, maka tentulah apa yang akan berlaku kepada kita ialah kesusahan yang berpanjangan...

"Ini adalah perasaan dan sikap saya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN," katanya ketika merasmikan perhimpunan agung MIC ke-62 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu serta 3,300 perwakilan termasuk ketua cawangan MIC dari seluruh negara, demikian menurut laporan Bernama.

Satu pengajaran

Abdullah berkata, beliau memahami perasaan banyak pihak berikutan kemerosotan prestasi BN dalam pilihanraya itu sehingga ada yang menyifatkannya sebagai satu kegagalan hingga menimbulkan perasaan "dukacita yang amat sangat".

"Perlu diakui dan saya berpendapat, apapun yang merupakan kesusahan, apapun yang merupakan kegagalan dan apapun yang merupakan dukacita yang amat sangat bagi kita, anggaplah ini sebagai satu pengajaran...ini bukan satu tragedi tetapi pengajaran yang memeritkan," katanya.

mic 62 agm 120708 delegates Sehubungan itu, Abdullah berkata semua pihak mesti bersedia melihat apa yang berlaku sebagai satu pengajaran yang tidak akan dilupakan dan ada rahmat serta kebaikan di sebalik setiap perkara yang berlaku.

Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Dewan Tertinggi BN baru-baru ini telah menyediakan satu pelan bagi membolehkan pakatan parti komponenan BN itu gagah semula dan bangkit menyusun usaha membantu rakyat.

Sehubungan itu, Abdullah berharap MIC akan menjadi parti yang lebih baik dan kukuh pada masa akan datang.

"Bagi BN dan parti komponennya yang lain, khususnya Umno, akan tetap bersama MIC pada setiap masa dan memberikan sokongan kepada parti ini," katanya.

Tindakan tidak popular

Perdana menteri juga meminta semua pihak supaya benar-benar memahami tujuan kerajaan BN melaksanakan berapa langkah yang dikatakan "tidak popular" di kalangan rakyat seperti menstuktur semula subsidi petrol dan diesel sehingga harga bahan api itu meningkat.

Katanya kesemua keputusan itu, sehingga ada daripadanya, menimbulkan emuhan rakyat kepada kerajaan terpaksa dibuat bagi memastikan rakyat tidak enanggung beban yang berpanjangan sehingga ke masa akan datang.

"Setiap keputusan yang dibuat mungkin tidak popular tetapi kita mesti lakukan juga kerana kerajaan perlu bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Menurutnya, kerajaan BN tidak sanggup mengenepikan tanggungjawab yang diamanahkan apabila sekadar ingin menjadi popular melalui langkah-langkah yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat.

"Adalah satu tindakan bodoh jika kerajaan memilih untuk menjadi tidak popular..kenapa kita perlu melakukan sesuatu untuk menjadi tidak popular. Buat apa kita bertindak (supaya) orang marah dan maki pada kita, buat apa?

"Kita fikir tak mahu semua itu tetapi apa yang kita nak lakukan itu ialah sesuatu yang mesti kita lakukan, kita mengambil tindakan ini bukan nak jadi popular.

"Kita boleh menjadi tidak popular tetapi kita mesti bertanggungjawab kepada rakyat dan negara," katanya.

Abdullah berkata kerajaan BN sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah yang dihadapi rakyat dan semua pihak akan dimaklumkan dari semasa ke semasa hasil dan keputusan berhubung langkah yang diambil itu.

Perdana Menteri bertekad bahawa walau apapun yang berlaku, kerajaan akan terus membantu dan memberikan keutamaan kepada semua rakyat, tanpa mengira kaum, walaupun mengakui prestasi BN dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu amat mengecewakan bagi kebanyakan pihak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS