Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BPR diberi kuasa mendakwa
Diterbitkan:  Jul 11, 2008 11:11 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi kuasa penuh untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Ini bermakna, BPR kini boleh membuka kes siasatan dan meneruskannya sehingga dibawa ke mahkamah.

Pada masa ini, BPR perlu merujuk hasil siasatannya kepada pejabat peguam negara yang memutuskan sama ada kes itu boleh didakwa di mahkamah.

Perubahan dramatik itu - bagi memperkukuhkan BPR dan meningkatkan lagi ketelusannya- diumumkan dalam satu kenyataan oleh BPR di Putraya.

Ia juga dijangka dapat mengikis persepsi negatif bahawa pejabat peguam negara yang melewat-lewatkan pendakwaan kes-kes berprofail tinggi yang membabitkan orang-orang politik.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara akan menempatkan seorang pegawai kanannya sebagai Pengarah di Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR bagi membuat keputusan berhubung semua kes siasatan badan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ibupejabat BPR, pegawai kanan itu akan bertanggungjawab dari segi pentadbiran untuk sebarang laporan kepada ketua pengarah BPR.

Menurut laporan Bernama, penempatan pegawai itu berikutan keputusan yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara agar semua kes yang disiasat termasuk kes-kes berkepentingan awam dikendalikan oleh bahagian itu tanpa perlu merujuk kepada peguam negara.

Langkah itu juga sebagai usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kes-kes yang dikendalikan BPR, jelas kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, kes-kes melibatkan kepentingan awam akan dirujuk kepada pihak peguam negara manakala bahagian itu hanya mengendalikan kes-kes lain.

Sementara itu, dalam satu sidang akhbar, Pengarah Bahagian Siasatan BPR Datuk Mohd Shukri Abdull menjelaskan langkah terbaru itu bermaksud kertas siasatan BPR tidak akan sampai ke pejabat peguam negara lagi, sebaliknya berhenti setakat di bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR.

Bagaimanapun, katanya, pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan BPR mesti dari Pejabat Peguam Negara kerana kuasa membuat keputusan sama ada hendak mendakwa atau tidak masih di bawah kuasa pendakwaraya.

ADS