Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li: PM silap langkah
Diterbitkan:  Jul 11, 2008 10:21 AM
Dikemaskini: 7:23 AM

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa pada pertengahan 2010 dan bertanding sebagai presiden Umno merupakan satu langkah yang silap.

Katanya jawatan presiden Umno itu ditentukan oleh ahli Umno dari peringkat akar umbi dan tidak wajar bagi Abdullah untuk serahkan kuasa kepada sesiapa pun.

ku li tengku razaleigh and umno agm 241106 "Banyak pihak tidak menyedari bahawa perdana menteri perlu mendapatkan restu pelbagai pihak terutamanya dari Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan ketua-ketua cawangan Umno di jajahan Bachok malam tadi, demikian menurut laporan Bernama.

Beliau berkata selama ini Abdullah merupakan "caretaker" (penjaga) kepada Umno kerana pemilihan parti itu sepatutnya berlaku tahun lepas namun ianya ditunda berikutan pilihan raya umum ke-12.

Tengku Razaleigh berkata keputusan Abdullah itu tidak akan mengubah pendirian beliau untuk bertanding bagi jawatan presiden pada pemilihan parti yang dijangka Disember ini.

Semalam Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.

Perdana menteri berkata, keputusan tersebut diterima oleh MT dan pemimpin-pemimpin parti itu.

"Saya telah beri penjelasan mengenai perkara ini kepada MT dan ketua-ketua bahagian, termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri sebentar tadi.

"Mereka boleh menerimanya dan memberi hormat berdiri kepada keputusan saya," kata Abdullah semalam.

Abdullah berkata, beliau memilih Najib kerana beliau seorang yang baik dan boleh menjadi pemimpin yang baik.

"Peralihan kuasa bermula dengan apa yang umumkan hari ini. Dalam jangka masa itu, saya akan bertanding jawatan presiden parti dan saya telahpun nyatakannya kepada Datuk Najib (untuk bertanding presiden)," kata perdana menteri lagi.

ADS