Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau tidak mahu peralihan kuasa yang berbentuk pertandingan kerana akan berlaku perpecahan dalam parti.

Beliau yang juga presiden Umno berkata, peralian kuasa seumpama itu juga akan merugikan ahli-ahli parti tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, peralihan dalam parti yang baik, akan disenangi oleh ahli-ahli.

Katanya, ia supaya pengganti dapat menjadi pemimpin parti yang bukan hanya memilih "geng-gengnya" sahaja.

Abdullah menegaskan demikian dalam sesi soal jawab dengan pemberita selepas membuat pengumuman bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.

Beliau membuat pengumuman tersebut selepas pertemuan dengan ketua-ketua bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno lebih dua jam mulai jam 3 petang tadi.

Perdana menteri berkata, keputusan tersebut diterima oleh MT dan pemimpin-pemimpin parti itu.

Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Abdullah berkata: "Ini satu pendekatan yang baik, parti tidak berkocak, peralihan berlaku, proses berjalan dengan baik.

"Saya bersyukur dapat memilih pemimpin yang parti yang baik.

"Perasaan saya mesti menyerahkan jawatan kepada pengganti dan inilah cara yang saya pilih," tambah beliau.

Abdullah juga ditanya sama ada dakwaan yang mengait Najib dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu akan menjejaskan proses peralihan kuasa tersebuta.

Dalam jawapannya, perdana menteri berkata, ia adalah perkara yang berasingan.

Sebaliknya, kata beliau, ini adalah keputusan parti dan beliau percaya Najib akan menjadi pengganti yang baik.

Abdullah juga berkata usul tidak percaya oleh pembangkang tidak akan menjejaskan proses peralihan kuasa tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS