Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata beliau sedia menerima sebarang tindakan dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung jawatan kabinetnya kini sekiranya gagal mempertahankan dasar kerajaan dalam debat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu kenaikan harga minyak, Selasa ini.
"Sekiranya saya gagal, saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan masa depan (sebagai menteri)," katanya ketika diminta mengulas kenyataannya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai perkara itu semalam.
Ahmad Shabery berkata menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan dan menerangkan sebaik mungkin dasar kerajaan menaikkan harga bahan api.
"Sekiranya saya gagal melaksanakan tugas, saya serah pada pucuk pimpinan untuk mencari menteri penerangan yang lebih baik untuk menerangkan dan mempertahankan dasar kerajaan. Saya serius dengan perkara ini," katanya kepada pemberita.
Menurut Bernama , sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif Australian Broadcasting Corporation (ABC) Bruce Dover serta rombongan di bangunan Parlimen hari ini.
Semalam, Ahmad Shabery menyatakan keyakinannya bahawa langkahnya berdebat dengan Anwar dapat membantu rakyat untuk lebih memahami kewajaran kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel bulan lalu.
Reaksi berbeza
Anwar dilaporkan pernah berjanji akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja jika partinya menjadi kerajaan.
Debat bertajuk "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak" anjuran portal berita Agendadaily.com itu dijadual berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Shabery berkata debat itu cara terbaik dan bertamadun dalam membincangkan sesuatu isu daripada mengadakan perhimpunan haram atau konsert yang memalukan.
Mengulas reaksi berbeza mengenai sama ada debat itu perlu atau tidak, Ahmad Shabery berkata:
"Soal setuju atau tak setuju, ini adalah tugas saya. Apa yang penting ia dapat terangkan dasar kerajaan."
Beliau juga ditanya mengenai perbuatan individu tertentu menyamar sebagai dirinya untuk meminta wang, Ahmad Shabery berkata:
"Saya terkejut sebab ada orang yang guna nama saya minta duit."
"Perkara ini tidak wajar dilakukan dan saya telah membuat laporan polis dan setakat ini belum ada yang dikenal pasti. Saya harap tiada orang yang terpedaya," katanya.