Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul tidak percaya dari Pakatan
Diterbitkan:  Jul 10, 2008 3:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Gabungan pembangkang - Pakatan Rakyat - mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

wan azizah and pakatan rakyat parliament motion of no confidence on pak lah 100708 Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR- Permatang Pauh) telah memfailkan usul tersebut di pejabat Speaker Dewan Rakyat pada jam 3.45 petang.

Antara lain, usul tersebut menyatakan bahawa pilihanraya umum ke-12 menyaksikan 'tsunami politik' di mana lima negeri dan Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurutnya, BN mencapai kemenangan tipis dengan memanipulasi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan melalui pembohongan.

Harga minyak pula, tambahnya, dinaikkan dengan tiba-tiba selepas pilihanraya walaupun timbalan perdana menteri - ketika melancarkan manifesto pilihanraya - berjanji ianya tidak akan berlaku.

Manakala ahli-ahli Parlimen BN, katanya, yang menolak sikap tidak bertanggungjawab pemimpin mereka, telah diancam dan dipaksa supaya berdiam diri.

Perkembangan tersebut, tambahnya, telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap perdana menteri dan anggota kabinetnya.

Keyakinan merosot

Rakyat, menurut usul itu lagi, berdepan dengan beberapa krisis seperti kenaikan harga bahan bakar makanan.

Menurutnya lagi, keyakinan rakyat terhadap polis, peguam negara dan badan kehakiman telah merosot, dan jenayah dan rasuah semakin meningkat.

Jika usul tersebut diterima, ia mungkin dibincangkan pada hari Isnin apabila sesi Parlimen bersambung selepas cuti hujung minggu. Parlimen tidak bersidang pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, usul tersebut mungkin ditolak oleh Speaker yang mempunyai kuasa untuk berdemikian atas alasan ianya bukan perkara yang perlu disegerakan.

Tambahan pula, hanya satu jam perbahasan dibenarkan untuk usul seumpama itu dan juga tiada pengundian.

Pihak pembangkang mungkin mempunyai pilihan untuk mengemukakan usul tersebut mengikut Peraturan Tetap 27, yang memerlukan notis 14 hari.

Bulan lalu, Parti Progreseif Sabah (SAPP) mengejutkan negara apabila berkata ia akan menyokong usul tidak percaya terhadap Abdullah.

Bagaimanapun, ia kemudiannya memutuskan untuk menangguh rancangannya itu. Pada masa yang sama, kerajaan BN telah memberi surat tunjuk sebab kepada SAPP.

Reaksi pemimpin BN

bung moktar radin Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional, Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, walaupun jika ia dibenarkan oleh Speaker sekalipun, mengikut Peraturan Tetap 27, beliau yakin ia tidak akan berjaya.

"Kami dalam BN yakin bahawa mereka tidak akan mendapat korum yang mencukupi," katanya kepada pemberita.

Beliau turut mengkritik Pakatan Rakyat kerana cuba menjatuhkan kerajaan yang diberi mandat dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Rakyat sudah memberi mandat kepada BN. Mengapa pembangkang mahu mengemukakan usul tidak percaya terhadap kerajaan? Apakah agendanya? Mereka mahu jatuhkan kerajaan?" soalnya.

"Mereka mahu menjadi kerajaan. Dengan apa cara sekalipun, selepas pilihanraya, mereka mahu menukar kerajaan melalui pintu belakang," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS