Penyelesaian terhadap status projek pembinaan kabel voltan tinggi, Sistem Kawasan Tengah (CAR) yang tergendala akibat bantahan penduduk di kampung Sungai Terentang, Rawang, dijangka diketahui dua minggu lagi, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikannya, telah mengadakan beberapa pertemuan dengan kumpulan yang terlibat dari jawatankuasa Sungai Terentang - tempat laluan kabel tersebut.
“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga terlibat dalam perbincangan. Kita juga bawa penduduk yang terlibat. Dan dalam masa yang sama, pegawai daerah dan pegawai pejabat daerah (turut hadir),” kata Abdul Khalid dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat exco negeri petang tadi.
“Kita berharap dalam masa dua minggu kita, ada beberapa penyelesaiannya, supaya TNB akan ada peluang untuk buat kerja mereka untuk memastikan cukup penawaran (elektrik) di Lembah Klang.
Beliau, bagaimanapun tidak mahu menyatakan pilihan-pilihan yang ada kerana masih dalam proses perbincangan.
“Kita sekarang dalam mood perbincangan,” katanya.
Sementara itu, exco kerajaan negeri, Ronnie Liu menjelaskan mengenai laporan bahawa seorang Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menghalang pihak penguatkuasa mengambil tindakan terhadap sebuah kedai minuman di Klang.
CCTV di bilik hotel
Menurut beliau, siasatan telah dimulakan dan surat telah dihantar kepada ahli MPK itu bagi mendapatkan penjelasannya.
"Selepas itu kita akan kaji apakah tindakan yang perlu dibuat,” tambahnya.
Mengenai laporan sebuah tabloid hari ini yang mendakwa terdapat hotel di negeri itu memasang CCTV dalam bilik untuk merakamkan aksi seks pelanggan untuk dijadikan VDC lucah, seorang lagi exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan dengan Persatuan Hotel bajet Malaysia.
Beliau, bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai pertemuan tersebut.
Harian Metro hari ini melaporkan, rakaman itu dijual kepada tauke cetak rompak dengan harga antara RM1,000 hingga RM3,000.
Kerajaan negeri, tambah Elizabeth, menentang perkara itu dan sekiranya benar dakwaan itu, hotel terlibat “tidak dialu-alukan” di negeri Selangor.
“Sudah tentu kita menentang perkara ini berlaku di hotel bajet. Saya rasa orang yang tinggal di hotel, terutamanya pelancong, mahu keselesaan dan keselamatan.
"Kami tidak ada bantahan CCTV dipasang lobi dan pintu masuk untuk tujuan keselamatan tetapi bukan di bilik tidur," tambahnya.