Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) sudah "serik" mengadakan perhimpunan di tempat tertutup, khususnya di stadium kerana ia kurang mendapat sambutan.
'Perhimpunan Sejuta Rakyat' sempena membantah kenaikan harga bahan api anjurannya Ahad lalu yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya hanya dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang pada sebelah siangnya.
Manakala acara kemuncak berupa ucapan tokoh-tokoh Pakatan Rakyat, terutama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadiri oleh kira-kira 25,000 orang.
Pada mulanya dijadual diadakan di KLCC tetapi kemudiannya dipindah ke Padang Timur, Petaling Jaya.
Tarikhnya pula diubah dari 5 ke 6 Julai.
Bagaimanapun, tempat perhimpunan itu ditukar pada saat-saat akhir ke stadium tersebut. Perubahan itu dibuat atas keputusan pimpinan Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor.
Dalam mesyuarat Protes lewat petang semalam bagi menilai program tersebut, pelbagai perkara, termasuk faktor sambutan itu, serta insiden yang membabitkan kumpulan pemuzik jemputan, telah dibincang secara panjang lebar.
Ambil pengajaran
Ahli jawatankuasa Protes, S Arutchelvan memberitahu Malaysiakini bahawa gabungan parti pembangkang dan badan bukan kerajaan itu memutuskan tidak akan mengadakan lagi sebarang perhimpunan di tempat tertutup, seperti stadium.
Katanya, tempat seumpama itu tidak sesuai untuk mengadakan perhimpunan bantahan seperti yang terbukti hujung minggu lalu apabila kehadiran orang ramai kurang daripada sasaran.
Mengenai insiden membabit kumpulan pemuzik punk rock Carburetor Dung pula, Arutchelvan berkata, pihaknya kesal dengan insiden kekecohan itu dan mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku.
Bagaimanapun, beliau menganggap ia hanyalah satu insiden kecil yang tidak mengganggu keseluruhan program tersebut.