Pemuda PAS menyerahkan memorandum kepada Yang di-pertuan Agong, menyeru baginda menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat beberapa dakwaan terkini melibatkan tokoh-tokoh utama negara, termasuk timbalan perdana menteri, ketua polis negara dan peguam negara.
Dalam memorandum yang sama, ketuanya Salahuddin Ayub juga berkata dakwaan itu termasuklah tuduhan liwat terhadap penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu suruhanjaya siasatan diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail dalam aduan-aduan tersebut," katanya, yang menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai Istana Negara tengah hari tadi.
Salahuddin, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, memohon agar baginda menitahkan Najib, Musa dan Abdul Gani untuk bercuti daripada jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh suruhanjaya tersebut.
Berikut teks lengkap memorandum tersebut :
Seri Paduka Baginda Tuanku,
Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.
Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua, Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Seri Paduka Baginda Tuanku mengenai kemelut politik negara yang semakin tenat dan perlu kepada tindakan segera.
Patik percaya sekalian rakyat amat bimbang dan gusar terhadap suasana perebutan kuasa serta lontaran fitnah dan tuduhan yang melibatkan kredibiliti pihak-pihak paling tertinggi dalam negara.
Patik merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan berikut:-
1. Surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin bertarikh 18 Jun 2008 melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu;
2. Laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat;
3. Laporan polis Dato’ Seri Anwar bertarikh 1 Julai 2008 terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998;
4. Surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya bertarikh 4 Julai 2008 yang menarik balik tuduhannya.
Patik berpandangan pada masa ini, oleh kerana terdapat tuduhan langsung terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, serta tuduhan terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara maka badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan di atas yang amat berkaitan antara satu sama lain.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.
Oleh yang demikian, patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam aduan-aduan tersebut.
Patik sekalian juga memohon agar Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bercuti dari jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja.
Ampun Tuanku,
Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.
Amin Ya-Rabbal-Alamin.
Ampun Tuanku.
Patik dengan segala hormat takzimnya,
Salahuddin bin Ayub
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
4 Rejab 1429 / 7 Julai 2008