Penyiasat persendirian P Subramaniam yang membuat akuan berkanun yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Altantuya Shaariibuu - dan menariknya balik sehari selepas itu - kini tidak dapat dihubungi.
Turut hilang ialah isterinya dan tiga orang anaknya.
Ekoran itu, anak saudaranya, R Kumaresan membuat laporan polis hari berhubung kehilangan Balasubramaniam serta isteri dan anak-anaknya itu.
Kumaresan, 27, yang ditemani seorang peguam, membuat laporan 'orang hilang' di balai polis Brickfields pada 5 petang tadi.
Semalam Balasubramaniam membuat akuan berkanun kedua, tanpa bahagian yang merujuk kepada pembabitan Najib dalam kes Altantuya.
Dalam akuan berkanun pertamanya, Balasubramaniam mendakwa Najib mempunyai seksual dengan wanita Mongolia tersebut.
Peguam N Surendran, yang mewakili Kumaresan, memberitahu pemberita bahawa pelanggannya itu "amat rapat" dengan keluarga Balasubramaniam dan membuat laporan polis itu kerana bimbangkan keselamatan mereka.
Surendran, yang menegaskan beliau tiada kaitan dengan PKR, berkata Balasubramaniam telah keluar dari rumahnya di Rawang dan membiarkan dua ekor anjingnya di situ tanpa memaklumkannya pada sesiapa.
"Balasubramaniam (dan keluarganya) tiba-tiba hilang begitu sahaja," kata Surendran.
Menjawab soalan pemberita, Kumaresan menafikan kemungkinan Balasubramaniam sedang bersembunyi.
Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan Balasubramaniam adalah selepas penyiasat persendirian itu membuat akuan berkanun pertamanya pada 1 Julai.
"Beliau menyerahkan satu salinan kenyataan asalnya kepada adik saya, Segar, untuk disimpan," katanya, sambil menambah, beliau tahu yang bapa saudaranya akan mengumumkan dokumen tersebut dalam satu sidang akhbar.
Kumaresan berkata, dia dapat bercakap dengan isteri Balasubramaniam pada malam Khamis selepas sidang akhbar bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menurutnya, tiada apa yang tidak kena pada masa itu.
Bagaimanapun, Kumaresan percaya Balasubramaniam dan keluarganya hilang pada pagi berikutnya, pada hari akuan kedua dibuat, dan tidak dapat dihubungi lagi selepas itu.
Kumaresan memberitahu pemberita bahawa agak luar biasa bagi
Balasubramaniam dan keluarganya berbuat demikian kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Jika beliau ditahan, kami mahu polis memberitahu kami. Saya tidak fikir beliau sedang bersembunyi," tegasnya, sambil menambah, Balasubramaniam tidak pernah menyatakan dia dalam bahaya.
Sementara itu, ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang tiba di balai polis tersebut kemudiannya, memberitahu pemberita bahawa PKR bimbang dengan keselamatan Balasubramaniam.
Tegasnya, inilah yang akan berlaku jika tidak ada undang-undang untuk melindungi saksi atau pemberi maklumat.
Chua adalah antara tiga ahi Parlimen Pakatan Rakyat yang turut berada di balai polis Brickfields untuk memberi sokongan kepada Balasubramaniam.