Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan sejuta rakyat berjalan seperti dijadualkan esok
Diterbitkan:  Jul 5, 2008 6:16 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Perhimpunan sejuta rakyat bagi membantah kenaikan harga minyak akan diadakan seperti yang dijadualkan di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya esok.

Ia dianjurkan oleh Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes), yang dianggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, untuk menuntut diturunkan harga minyak yang kini membebankan rakyat.

tian chua 03 Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, perhimpunan akan berjalan secara aman dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Sehubungan itu, beliau menafikan maklumat yang disebarkan melalu SMS dan emel bahawa perhimpunan tersebut telah dibatalkan.

Menurutnya, SMS dan emel tersebut adalah palsu yang disebarkan untuk mengeluarkan orang ramai mengenai perhimpunan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, program yang dirancang tidak akan dibatalkan supaya orang ramai dapat menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dan bahan bakar yang lain tanpa justifikasi yang munasabah.

Sementara itu, pihak polis telah mula mengadakan sekatan jalanraya di laluan utama menuju ke bandaraya, dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan esok.

Pada mulanya, perhimpunan tersebut dirancang diadakan di KLCC pada 5 Julai.

Bagaimanapun, lokasinya kemudiannya berubah di Padang Timur, Petaling Jaya dan tarikhnya juga ditukar kepada 6 Julai.

Penganjur mensasarkan mengumpulkan "sejuta orang" dalam perhimpunan bantahan tersebut, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Dianggarkan 3,500 petugas akan membantu mengawal keselamatan dan masalah kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.

Bagaimanapun pada 3 Julai lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, beliau telah menasihatkan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan.

Menurutnya lagi, jika masih ingin meneruskannya, ia boleh dipindahkan ke lokasi lebih sesuai seperti Stadium Shah Alam atau Stadium Malawati, juga di Shah Alam.

Semalam, tempat perhimpunan tersebut dipindahkan ke Stadium Kelana Jaya.

Difahamkan, perubahan tempat ini diputuskan dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat malam kelmarin.

Stadium Kelana Jaya boleh memuatkan 50,000 tempat duduk. Manakala padangnya pula boleh memuatkan jumlah hadirin yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS