Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perisikan tentera nafi beri maklumat pada Anwar
Diterbitkan:  Jul 4, 2008 9:32 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Perisikan tentera hari ini menafikan memberi sebarang maklumat kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai wujudnya ancaman bunuh terhadap Anwar dan anggota keluarganya.

Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Lt Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail turut menafikan wujudnya laporan perisikan tentera berhubung kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu seperti yang didakwa oleh pengendali blog Raja Petra Kamaruddin yang terkandung dalam Akuan Bersumpahnya yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Jun.

"Kenyataan Anwar berhubung perisikan tentera yang memberi amaran tentang keselamatan beliau adalah tidak benar. Beliau mungkin mempunyai sumber lain tetapi bukan daripada agensi (perisikan tentera) saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Asas Digital Fotografi di Kolej Multimedia Telekom di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata demikian apabila diminta mengulas dakwaan Anwar Ahad lalu yang beliau (Anwar) mendapat maklumat dari sumber kerajaan dan perisik tentera kononnya ejen Barisan Nasional (BN) merancang mencederakan atau mungkin membunuh beliau dan mencederakan anggota keluarga serta penyokongnya.

Mengenai Akaun Bersumpah Raja Petra, Mohd Salleh berkata ia tidak benar dan "sepanjang saya menduduki kuasa pemerintah, saya langsung tidak mengetahui wujudnya laporan seperti yang dinyatakan itu," katanya.

Raja Petra dalam akuan bersumpahnya mendakwa Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, yang juga anggota Parlimen Rembau menyimpan laporan perisikan tentera mengenai kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor serta pakar bom, pemangku Kolonel Aziz Buyong dan isterinya Norhayati, yang juga pengawal pengiring Rosmah, di tempat kejadian di mana Altantuya diletupkan di Puncak Alam, Shah Alam pada Oktober 2006.

Mohd Salleh berkata dakwaan itu yang mengaitkan badan perisikan tentera adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral kerana telah menimbulkan kekeliruan rakyat serta menjejaskan kepercayaan mereka terhadap badan itu.

"Tidak ada penglibatan daripada perisikan tentera dalam fenomena politik negara ketika ini. Pengakuan-pengakuan tersebut hanya andaian semata-mata bertujuan untuk menguatkan fakta mereka dan kredibiliti maklumat yang dikeluarkan.

"Ini juga kemungkinan adanya agenda tersendiri daripada pemimpin-pemimpin itu," katanya.

Beliau berkata perisikan tentera sentiasa memantau keadaan keselamatan Negara daripada semua aspek, bagaimanapun tidak dapat dinafikan terdapat golongan yang mahu melihat Malaysia di dalam keadaan huru-hara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS