Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebanyak 27 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyuarakan bantahan mereka terhadap rancangan kerajaan untuk mengerahkan anggota tentera membantu polis mengawal ketenteraman awam sewaktu perhimpunan awam diadakan - sama ada yang dijadualkan Ahad ini atau yang akan datang.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyifatkan cadangan tersebut akan memberi gambaran yang salah kepada rakyat Malaysia dan dunia amnya, seolah-olah negara dalam keadaan krisis atau berdepan dengan perpecahan.

Malah, tegas mereka, perhimpunan-perhimpunan yang diadakan sebelum ini berjalan secara aman tanpa perlu kehadiran anggota tentera.

Menurut mereka lagi, ia juga menunjukkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini bahawa keadaan keselamatan di negara ini adalah terkawal, tidak begitu meyakinkan.

"Ini akan menimbulkan keraguan mengenai kemampuan perdana menteri untuk memberi kepimpinan yang positif dan kemungkinan ada anasir dalam kerajaannya yang cuba memberi gambaran seolah-olah timbul keadaan tidak stabil untuk mencapai agenda politik mereka," tambah kenyataan tersebut.

Menurut mereka lagi, sejak pilihanraya umum 8 Mac lalu, negara sedang menujuk ke arah pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang lebih demokratik.

"Kewujudan sebuah negara yang bebas dan adil serta mengamalkan demokrasi terbuka, adalah amat penting bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan yang berterusan.

"Suasana itu, akan mewujudkan kehidupan yang harmoni, mengukuhkan keyakinan pelabur dan kemakmuran negara," tegas mereka lagi.

Hadir di sidang akhbar mengenai perkara itu ialah wakil-wakil NGO terbabit, antaranya Pengerusi Institut Nasional bagi Integriti Pilihanraya (NIEI), Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Ivy Josiah; Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez; Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng dan Setiausaha Persatuan Wanita Selangor, Suguna Papachan.

Sementara itu, Irene berkata, penggunaan pasukan tentera untuk mengawal perhimpunan aman, akan hanya mewujudkan rasa ketakutan di kalangan rakyat.

Manakala Ivy pula berkata pihaknya akan menyerahkan kenyataan bersama tersebut kepada ahli-ahli Parlimen supaya membantah cadangan untuk mengerahkan anggota tentera mengawal ketenteraman awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS