kemaskini 6:56pm Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dikaitkan dengan Altantuya Shaariibuu - kali ini dakwaan yang lebih menggemparkan daripada penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Abdullah Baginda.
Penyiasat persendirian itu, P Balasubramaniam hadir dalam sidang media bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR Petaling Jaya hari ini.
Dalam akuan berkanunnya yang diedarkan kepada media, Balasubramaniam memberikan beberapa butiran maklumat yang didakwa menunjukkan hubungan awal antara Altantuya, wanita Mongolia yang dibunuh, dengan timbalan perdana menteri.
Balasubramaniam, yang diupah Abdul Razak pada Oktober 2006, mendakwa majikannya itu pernah memberitahunya bahawa Najib memperkenalkan Altantunya kepadanya dalam sebuah pameran berlian di Singapura.
Abdul Razak, yang kini dituduh bersubahat membunuh wanita Mongolia itu, didakwa memberitahu sedemikian pada 14 Oktober dua tahun lalu untuk memujuknya terus bertugas dengannya.
Selain maklumat tersebut, dakwa Balasubramaniam lagi, penganalisis politik yang dekat dengan pemimpin negara itu juga memberitahunya:
- Najib memaklumkan kepada majikannya itu bahawa mereka berdua pernah melakukan hubungan seks.
- Oleh sebab beliau sekarang timbalan perdana menteri, Najib meminta Abdul Razak menjaga Altantuya agar wanita berkenaan tidak mengacaunya.
- Ketiga-tiga mereka – Najib, Abdul Razak dan Altantuya - didakwa pernah makan malam bersama di Paris.
- Altantuya menuntut wang komisyen sebanyak US$500,000 daripadanya berhubung pembelian kapal selam Malaysia di negara itu.
Ibu sedang sakit
Dalam akuan berkanunnya, Balasubramaniam berkata beliau pernah berbual dengan Altantuya - yang dikenali juga sebagai "Aminah" - di luar pagar rumah Abdul Razak pada 19 Oktober tahun itu semasa bertugas mengawal rumah majikannya.
Dalam perbualan mereka, penyiasat itu mendakwa wanita itu memberitahunya:
- Altantuya bertemu dengan Abdul Razak dan Najib di Singapura.
- Mereka bertiga pernah makan malam bersama di Paris.
- Wanita itu pernah dijanjikan wang komisyen US$500,000 berhubung urusan pembelian kapal selam.
- Altantunya memerlukan wang untuk menebus kembali rumah yang dibelikan untuknya oleh Abdul Razak tetapi telah dibiayai semula oleh saudara lelakinya.
- Ibunya sedang sakit dan beliau memerlukan wang untuk rawatan.
- Oleh kerana niatnya untuk bertemu Abdul Razak masih tidak kesampaian, Altantuya meminta Balasubramaniam menguruskan pertemuannya dengan Najib.
SMS diterima
Dakwaan-dakwaan menggemparkan ini terkandung dalam akaunnya setebal 16 halaman yang bertarikh 1 Julai.
Balasubramaniam, yang ditahan polis di awal siasatan kes berprofil tinggi itu pada pertengahan November 2006, turut mendakwa maklumat mengenai Najib yang didedahkan kepada polis tidak dimasukkan dalam kenyataan beramarannya.
Bekas anggota Cawangan Khas ini, yang bertugas selama 17 tahun bersama pasukan polis, disoal siasat lebih kurang 10 jam sehari selama genap seminggu ditahan.
"Saya memberitahu mereka (polis) semua (maklumat) yang saya tahu termasuk semuanya yang diberitahu Abdul Razak Baginda dan Aminah kepada saya mengenai hubungan mereka dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi apabila saya ingin menandatangani kenyataan (beramaran) saya, semua butiran terperinci telah dibuang," akuan berkanunnya pada halaman 13 dipetik.
(Timbalan perdana menteri sebelum ini beberapa kali menafikan beliau mengenali wanita Mongolia itu dan juga menafikan sebarang kaitan dengannya. Hari ini beliau sekali lagi menafikan sebarang kaitan dengan Altantuya.)
Beliau juga mendakwa, Abdul Razak menunjukkan mesej SMS yang dikatakan dikirim oleh Najib yang menyebut: "saya (Najib) akan bertemu ketua polis negara (Tan Sri Musa Hassan) jam 11 hari ini (8 November 2006 - hari penganalisis itu ditangkap) ... perkara ini akan dapat diselesaikan ... bertenang."
Balasubramaniam berkata, semasa memberikan keterangan dalam perbicaraan cif inspektor Azilah Hadri, koperal Sirul Azhar Umar dan Abdul Razak di Mahkahmah Tinggi Shah Alam, timbalan pendakwaraya kes itu tidak bertanya beliau tentang hubungan Altantuya dengan Najib.
Pada penghujung dokumennya itu, Balasubramaniam menyatakan beliau mengambil keputusan membuat pengakuan itu untuk:
- menyatakan kekecewaannya kepada siasatan kes pembunuhan Altantuya.
- memaklumkan kepada pihak berwajib kemungkinan besar terdapat beberapa individu selain tiga tertuduh yang turut memainkan peranan dalam pembunuhan itu.
- meyakinkan pihak berkuasa berkenaan agar membuka semula siasatan kes ini dengan segera supaya sebarang bukti baru boleh dikemukakan di mahkamah sebelum penggulungan di akhir pihak pendakwaan.
Berdasarkan pengalamannya, beliau juga menekankan bahawa "tidak ada pegawai polis bersedia menembak seseorang di kepala atau meletupkan jasadnya tanpa menerima arahan khusus daripada pegawai atasannya."