Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NC tidak halang siswa dekati politik
Diterbitkan:  Jul 2, 2008 9:05 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak menghalang penuntutnya mendekati dunia politik, sebaliknya memanfaatkannya secara positif supaya tidak hanyut dalam gelombang politik.

Naib canselornya Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan mendekati politik dengan positif, para penuntut terdedah kepada kemahiran berpidato, berhujah, berfikiran terbuka dan berani berhadapan dengan masyarakat.

Beliau memberitahu demikian selepas majlis sambutan 1,000 pelajar baru bagi sesi akademik 2008/2009 di Kangar hari ini.

Menurut laporan Bernama , beliau yakin penuntut UniMAP tidak akan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Setakat ini UniMAP bersih daripada sebarang rekod buruk sepanjang saya menjadi naib canselor selama enam tahun dan mereka faham hasrat universiti untuk melahirkan jurutera berkaliber dan serba boleh," katanya.

Sambil menegaskan para mahasiswa mestilah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai penuntut, beliau menyarankan mereka agar membangunkan blog sendiri sebagai saluran untuk menyatakan pandangan secara positif dan membina.

Kamarudin berkata kebolehan berdebat dengan pelbagai idea bernas antara prasyarat untuk mereka muncul sebagai seorang pemimpin berkaliber pada masa depan.

"Saya mahu pelajar menjadikan tiket politik ini untuk meningkatkan sahsiah diri dan kebolehan berhujah, berani bercakap dan berkomunikasi dengan baik," katanya.

Mengenai kemungkinan ada penuntut UniMAP terlibat dalam kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang apabila diadakan kelak, Kamarudin berkata mereka tertakluk kepada AUKU.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS