dikemaskini Seorang menteri dan timbalan menteri dari Umno hari ini menafikan khabar angin yang menyebut mereka antara empat ahli parlimen BN yang akan melompat parti dan bakal menyertai Pakatan Rakyat.
Mereka yang disebut-sebut itu, menteri belia dan sukan Datuk Ismail Sabri Yaacob (foto, kiri) dan timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi Datuk Saifuddin Abdullah.
Dakwaan mengenai perkara itu tersebar di internet sejak ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, dua daripada empat yang akan melompat parti termasuklah dua daripada Umno.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Ismail menyifatkan dakwaan tersebut sebaagai "tidak masuk akal dan tidak ada asas".
"Saya tidak pernah berkawan dan berjumpa dengan orang PKR. Tidak ada tawaran untuk berbuat demikian (lompat parti)," katanya.
Ismail yang juga ahli parlimen Bera berkata, tidak mungkin beliau menyertai Pakatan kerana sudah mempunyai jawatan kabinetnya sekarang.
"Buat apa lagi saya melompat parti kerana PKR sebuah parti yang tidak berjaya di masa depan.
"Ia parti sementara, pada tahun 2012, parti itu akan kalah teruk," katanya.
Saifuddin turut nafi
Ismail berkata, beliau bukan seorang yang kecewa dalam politik, sebaliknya gembira kerana sudah dilantik sebagai menteri.
Katanya, ada kemungkinan Anwar hendak mengalih perhatian rakyat daripada krisis peribadi yang sedang dihadapinya.
Anwar semalam diura-urakan berhasrat mengumumkan nama empat ahli parlimen BN itu dalam ceramahnya di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.
Bagaimanapun, Anwar tidak berbuat demikian dalam ceramah bagi menjelaskan kontroversi isu dakwaan liwat terhadapnya malam tadi.
Sementara itu, agensi berita Bernama memetik Saifuddin menafikan dakwaan akan melompat kepada PKR seperti yang disebarkan di internet.
Katanya, dakwaan bahawa beliau pernah ke luar negara untuk bertemu Anwar baru-baru ini tidak benar sama sekali kerana beliau tidak pernah bertemu mantan timbalan perdana menteri itu sejak 10 tahun lalu.
"Saya tetap ahli Umno dan BN yang setia... Saya dipilih sebagai ahli parlimen Temerloh atas kepercayaan pengundi saya.
"Malah saya dilantik sebagai timbalan menteri atas tiket Umno dan BN dan saya tidak akan membelakangkan perdana menteri," katanya dalam kenyataan ringkas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada agensi berita itu.