Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhd Muhamad Taib berkata calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan Umno Disember ini boleh berkempen.
Katanya, ibu pejabat Umno akan mengeluarkan garispanduan untuk diikuti oleh calon-calon yang bertanding.
Beliau berkata, garispanduan berkenaan iaitu Kod Tata Etika Baru Pemilihan Umno akan dikeluarkan ibu pejabat Umno pada 17 Julai ini.
"Kita tunggulah surat (garispanduan) yang akan dikeluarkan nanti, apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat.
"(Sudah tentulah) kita tak akan terfikir untuk tulis (peraturan itu) segala-galanya, (namun) kita mesti tahu, janganlah melanggar peraturan, seperti dalam rumah juga, tak kan lah bapa kita nak tulis "jangan hisap rokok dalam bilik", "janganlah balik tengah malam", jadi kita mestilah jaga tata susila, elak perbuatan yang dilarang," katanya.
Menurut Bernama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan pusat Medan Infodesa kampung Panching Utara, dekat Kuantan hari ini.
Jaga tata susila
Muhd Taib diminta mengulas mengenai tata etika baru yang diluluskan Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini yang antara lain melarang calon menghadiri majlis perkahwinan, tahlil dan kesyukuran yang dikhuatiri digunakan untuk meraih undi.
"Seperti peraturan di rumah juga, tak kanlah bapa kita akan tulis semua perkara, dalam Umno pun begitu, tentulah ada perkara yang tertinggal, jadi calon mestilah jaga tata susila, elak perbuatan yang dilarang, elak terjebak dengan perkara yang salah," katanya.
Mengulas isu perang mulut antara Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengenai isu menghalang petugas media memasuki lobi Parlimen, Muhammad berkata perkara itu boleh diselesaikan secara dalaman.
"Ini perkara kecil sahaja...boleh diselesaikan secara dalaman, bukan masalah besar sangat. Press hendak kebebasan, Parlimen hendak sedikit peraturan, perkara ini boleh diselesaikan," katanya.
Beliau berkata kedua-dua pihak boleh bertemu dan mencari penyelesaian terbaik.
Tubuh unit khas
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein mencadangkan penubuhan satu unit khas yang dianggotai peguam parti bagi menyelesaikan isu yang melibatkan tataetika ahli.
Unit khas itu, katanya, jika ditubuhkan, juga akan berfungsi sebagai tempat rujukan ahli Umno mengenai hal melibatkan tataetika parti.
"Dalam tahun pemilihan ni macam-macam timbul, dalam hal ini saya rasa mesti ada satu unit khusus yang disertai peguam-peguam parti dan pihak-pihak lain untuk memberi penjelasan (kepada anggota parti).
"Kalau tidak, naib-naib presiden, ketua Pemuda, ketua Wanita dan ketua Puteri tak ada kerja lain selain melihat kes-kes dalam konteks etika," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata perkara itu boleh dilaksanakan kerana Umno mempunyai pakar perundangan sendiri.
Sementara itu, Hishammuddin berkata usaha yang paling penting dilaksanakan pada masa ini ialah membantu pucuk pimpinan parti dan juga parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) memulihkan semula parti.
"Kalau kita pegang jawatan tinggi dalam parti, tetapi parti kita tidak kuat, tak ada maknanya. Atau jika kita dapat jawatan dengan cara yang tidak dihormati atau melakukan amalan yang orang luar tengok ia menjijikkan, orang tak akan hormati kita dan parti kita.
"Tapi kalau ketat sangat kawal sampai tak ada siapa pun yang boleh bergerak, itu juga bukan caranya. Ia bukan perkara mudah tapi seperti biasa dalam Umno kita ada cara kita untuk tangani," katanya.
Beliau turut mengingatkan anggota parti agar tidak terlibat dalam politik wang kerana parti tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terlibat.
"Kita sentiasa nak tengok pemilihan paling bersih dalam Umno. Kita sentiasa mahukan Umno bersih setiap masa," katanya.