Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu akan bertanding merebut jawatan ketua Umno bahagian Kangar dalam pemilihan Umno bahagian September ini.

Jawatan tersebut disandang oleh Ahmad Bakri Ali yang kini merupakan penyokong Dr Md Isa.

Ahmad Bakri juga merupakan ahli exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kayang.

mat isa sabu md isa sabu Pada masa ini, Dr Md Isa merupakan salah seorang ahli jawatankuasa bahagian berkenaan.

Dr Md Isa dijangka bertanding jawatan ketua bahagian, sesuai dengan kedudukannya kini sebagai menteri besar Perlis.

Menurut sumber-sumber, Ahmad Bakri akan memberi laluan kepada Dr Md Isa untuk memegang jawatan ketua bahagian.

Ekoran itu, Ahmad Bakri dijangka bertanding jawatan timbalan ketua bahagian, menentang penyandangnya, Datuk Hashim Suboh.

Kekal jawatan

Hashim yang merupakan orang kuat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, juga merupakan ketua penerangan Umno Perlis.

Manakala naib ketua, Abdul Jamil Saad dijangka tidak menghadapi sebarang tentangan untuk mengekalkan jawatannya.

Manakala Ketua Wanita bahagian, Azihani Ali yang juga bekas exco negeri, pula dijangka dicabar oleh naibnya, Hajah Rela Ahmad.

Rela baru sahaja dilantik sebagai pegawai khas menteri besar.

Bagi jawatan ketua Pemuda pula, penyandangnya Hasmunir Hamzah pula dijangka bakal dicabar oleh ahli jawatankuasa bahagian, Aziz Majid.

Hasmunir merupakan bekas pegawai khas Shahidan ketika beliau menjadi menteri besar.

Manakala ketua Puteri bahagian, Marzita Mansor tidak akan mempertahankan jawatannya kerana had lebih umur.

Setakat ini, belum terdengar nama-nama mereka yang dijangka bertanding mengisi jawatan tersebut.

ADS