kemaskini 6:37pm Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan adiknya akan dicabar dalam pemilihan Umno Arau masing-masing bagi jawatan ketua dan timbalan bahagian tersebut.
Shahidan, yang juga ketua perhubungan Umno Perlis, dijangka akan ditentang oleh bekas naib ketua bahagian itu Amir Hassan - sekarang setiausaha politik menteri besar Datuk Dr Md Isa Sabu.
Menurut sumber Umno negeri, Amir pernah mencabar Shahidan untuk jawatan tersebut pada tahun 1996.
"Ini kali kedua dia bertanding mencabar Datuk Seri Shahidan," katanya kepada Malaysiakini .
Datuk Ismail Kassim, ahli parlimen Arau, pula mungkin dicabar oleh bekas pemimpin Pemuda bahagian Zainuddin Yom dan seorang lagi calon kumpulan pro-menteri besar, Khalib Ahmad.
Zainuddin kini ahli jawatankuasa bahagian, sementara Khalib pula setiausaha khas menteri besar.
Jawatan naib ketua bahagian menyaksikan pertandingan antara penyandangnya Datuk Sulaiman Shafie, bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan bekas ketua Pemuda bahagian Dr Ammar Hassan, dikatakan pernah dicantas oleh Shahidan.
Dr Ammar kini pengerusi Kelab Usahawan Negeri Perlis.
Ketua Pemuda bahagian Datuk Rozabil Abdul Rahman, bekas setiausaha Shahidan, akan ditentang oleh Abu Bakar Hamzah, bagi pihak kumpulan pro-menteri besar.
Menurut sumber itu lagi, Rozabil tidak diminati oleh perwakilan Pemuda Perlis kerana beliau "bukan orang tempatan".
Bagi jawatan ketua wanita bahagian pula, Datuk Mastika Junaidah Hussain akan mempertahankan jawatan tersebut.
Beliau akan ditentang oleh pencabarnya penggal lalu, Sabani Ahmad.
Bagi jawatan ketua Puteri, penyandangnya Rozieana Ahmad tidak akan mempertahankan jawatan tersebut kerana telah melepasi had umur pergerakan itu iaitu 35 tahun.
Akibat kekosongan itu, naib ketua pergerakan itu Wan Noor Dizamdila Wan Mustapa telah menawar diri untuk bertanding jawatan tersebut.
Sumber itu menjelaskan, ahli-ahli bahagian tersebut terkilan dengan insiden pijak bendera Umno dan merobohkan bilik gerakan di semua lima kawasan DUN di saat-saat Shahidan diura-urakan tidak tersenarai sebagai calon BN pada Februari lalu.
Sumber menjelaskan lagi, gerakan anti-Shahidan di bahagian itu bermula selepas beliau tidak lagi memegang jawatan tersebut sejak Mac lalu - krisis pelantikan menteri besar akibat campur tangan istana.
Dihubungi Malaysiakini hari ini, Rozabil menafikan wujud persaingan proksi antara Dr Md Isa dengan Shahidan di bahagiannya.
Sementara itu, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam telah memutuskan untuk menunda pemilihan cawangan-cawangan di bahagian Arau - yang dijadualkan Julai dan Ogos depan - sehingga selepas pilihanraya kecil Sanglang, Perlis.
Pilihanraya kecil DUN itu, dalam bahagian Arau, akan diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 18 Jun yang mengosongkan kerusi itu selepas menerima bantahan dalam petisyen pilihanraya calon PAS, Hashim Jasin.
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, kerusi itu dimenangi oleh calon Umno, Abdullah Hassan dengan majoriti kecil, 45 undi.