Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Gantung Yahya bukan konspirasi
Diterbitkan:  Jun 26, 2008 12:59 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penggantungan tugas Mohd Yahya Mat Sahri sebagai "satu konspirasi" terhadap bekas pegawai kanannya itu.

"Saya tidak tahu ada konspirasi tapi kalau konspirasi maknanya tak adalah fakta yang boleh dinyatakan. Ini adalah satu fakta yang jelas.

mohd yahya mat sahri pc ceramah 230608 01 "Kalau macam tu BPR (Badan Pencegah Rasuah) termasuk dalam konspirasi ini," katanya mengulas dakwaan berhubung penggantungan Mohd Yahya selama dua bulan mulai Isnin lalu.

Pemimpin PKR itu, yang digantung tugasnya sebagai pegawai tugas-tugas khas Abdul Khalid susulan siasatan dakwaan salah guna kuasa, telah meletakkan jawatan pentingnya itu.

Beliau juga melepaskan jawatan sebagai setiausaha badan perhubungan PKR negeri.

Menurut laporan Bernama semalam, Abdul Khalid berkata pegawai itu digantung tugas bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dalaman secara tertib dan teliti.

Beliau berkata Mohd Yahya berpeluang mempertahankan tindakan dan keputusan yang dibuatnya tetapi bekas pegawainya itu telah menghantar surat peletakan jawatannya Isnin lalu.

"Saya sudah terima surat peletakan jawatan itu dan saya membalas surat itu menyatakan terima kasih terhadap tugas-tugas yang dijalankan beliau," katanya.

Tidak semua gembira

Sementara itu, Khalid juga berkata, adalah sukar untuk memuaskan hati semua orang dalam isu berhubung pelantikan anggota di 12 majlis kerajaan tempatan di negeri ini.

"Saya fikir saya boleh menyimpulkan bahawa tidak semua akan gembira tetapi kita akan cuba lakukan yang terbaik bagi memilih wakil paling munasabah dalam kerajaan-kerajaan tempatan kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri semalam.

yahya sahri supporters anwar ibrahim office 250608 03 Beliau mengulas rungutan beberapa kumpulan dalam PKR mengenai ahli parti itu yang tidak terpilih menduduki majlis tersebut. Terdapat 288 anggota majlis berkenaan di Selangor.

Sekumpulan 80 ahli PKR berhimpun di luar pejabat penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya kelmarin untuk menyatakan tidak puashati mereka dalam isu berkenaan.

Abdul Khalid berkata pelantikan anggota majlis itu hanya untuk tempoh setahun supaya lebih ramai orang berpeluang menduduki majlis itu berdasarkan sistem giliran.

Menteri besar berkata, oleh kerana PKR sebuah parti pelbagai kaum, beliau perlu juga mengambil kira imbangan kaum selain imbangan jantina dalam keanggotaan majlis itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS