Selepas Harakah mendapat kembali permit penerbitannya selama dua kali seminggu kelmarin, kini PKR pula berminat mendapat kebenaran seperti itu untuk akhbarnya, kata ketua penerangannya Tian Chua.
" Suara Keadilan akan mengemukakan permohonan untuk penerbitan dua kali seminggu dalam masa terdekat agar maklumat parti dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pantas," katanya.
"Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan Harakah seharusnya konsisten dan berlaku adil terhadap semua akhbar parti, termasuk Suara Keadilan ."
Lidah rasmi PKR mula diterbitkan sejak Jun 2005 sebanyak dua kali sebulan.
Ahli parlimen Batu itu mengulas sikap terbaru KDN yang membenarkan penerbitan organ rasmi PAS seperti sebelum ditarik balik sejak awal 2000.
Akhbar pembangkang berpengaruh itu kini diterbitkan dua kali sebulan - keputusan kontroversi KDN kira-kira tiga bulan selepas pilihanraya umum 1999 yang menyaksikan kebangkitkan PAS.
Selain akhbar PAS, Suara Keadilan yang tidak pernah mendapat permit penerbitan juga diberikan lesen 20 April lepas, tidak lama selepas pilihanraya umum 8 Mac yang menyaksikan kemenangan besar dua parti itu.
Tian dalam satu kenyataannya berkata, akhbarnya kini mempunyai edaran 100,000 naskhah, kenaikan mendadak selepas mendapat permit penerbitan tersebut.
"Suara Keadilan ... telah menyaksikan peningkatan yang mendadak dalam edarannya dalam dua bulan ini," katanya.
"Pencapaian ini menggambarkan permintaan yang tinggi terhadap berita berkenaan perjuangan PKR dan kepimpinan Anwar Ibrahim, khususnya di kawasan luar bandar, hasil daripada penambahan pengedar dan penjual akhbar ekoran kelulusan permit."
Perkembangan politik selepas 8 Mac yang menyaksikan Pakatan Rakyat menguasai lima buah negeri dan peningkatan pengaruhnya dalam Dewan Rakyat memerlukan penambahan kekerapan Suara Keadilan , tambahnya.