Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Insentif RM1 juta kepada seorang atlet negara yang memenangi pingat emas satu-satunya cara untuk memberikan galakan kepada mereka di Sukan Olimpik, kata Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

khoo kay kim anti auku gma 141006 showing teeth "Kita tidak akan tahu sama ada insentif ini akan membawa kejayaan untuk meraih pingat emas.

"Saya tidak nampak cara lain lagi untuk membuatkan mereka bersemangat, ini kerana mereka bersifat materialistik," katanya kepada Malaysiakini , mengulas insentif yang diumumkan kerajaan semalam.

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, atlet yang memenangi pingat emas di Beijing akan menerima insentif sejumlah itu berbanding hanya RM160,000 sebelum ini.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan di bangunan Parlimen, Najib juga bersetuju memberi RM300,000 kepada pemenang pingat perak dan RM100,000 untuk gangsa.

Menurut Dr Khoo lagi, pemberian insentif itu tidak membazir jika usaha itu membuahkan kejayaan.

"Bagi pendapat saya pemberian insentif itu tidak membazir ini kerana kita perlu mengikut seperti apa yang dibuat oleh negara-negara lain.

"Oleh itu kita perlu memberikan peluang kepada mereka. Tunggu dan lihat sahaja," kata pengulas sukan itu.

Beliau bagaimanapun berkata keadaan seperti itu "menyedihkan" kerana zaman dahulu atlet-atlet bermain kerana kesungguhan dan bukan semata-mata kerana wang.

"Situasi seperti ini menyedihkan kerana secara idealnya wang tersebut digunakan untuk menyediakan kelengkapan sukan.

"Pemain-pemain ketika dulu mempunyai nilai-nilai murni dan mereka tidak pernah terfikir akan insentif yang akan mereka perolehi selepas menang," tambahnya.

pkpim and university students Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagaimanapun "membantah keras" cadangan kerajaan itu.

"Dalam situasi rakyat menempuh keperitan hidup akibat harga minyak naik, (harga) barang keperluan naik dan segala macam lagi, insentif kemewahan itu tidak melambangkan situasi sebenar kehidupan rakyat," kata presidennya Mohd Hilmi Ramli.

"Apakah kewajaran kerajaan membuat keputusan yang semakin membangkitkan kemarahan rakyat? Apakah kerajaan tidak merasai nadi denyutan rakyat yang terus dihimpit kesusahan?

"Apakah benar dengan ganjaran mewah itu mampu mengangkat motivasi atlet negara untuk cemerlang nanti?"

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata ganjaran mewah itu bukan jaminan atlet akan cemerlang.

"Kerajaan seharusnya tidak membudayakan nilai materialistik kepada atlet negara," tambahnya.

"Seharusnya atlet negara dididik supaya mempunyai semangat juang yang tinggi, demi mengangkat martabat negara.

"Memberi 'umpan' mewah bukan cara terbaik untuk mendidik atlet negara.

"Berapa ramai yang kecundang dan hanyut akibat 'dibelai' dengan kemewahan melimpah setelah menang dalam acara sukan?"


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS