dikemaskini Timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan bahawa isterinya Rosmah Mansor terbabit dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu seperti didakwa oleh Raja Petra Kamarudin.
Najib juga berkata, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan berkanun penulis sensasi itu.
Bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, Najib berkata akuan Raja Petra itu satu "pembohongan dan sampah" semata-mata.
Najib juga menyifatkannya sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.
Sebelum ini, beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai masalah pendatang tanpa izin di Sabah.
Raja Petra, dalam akuan berkanunnya 18 Jun lalu, mendakwa Rosmah bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan.
Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pengendali blog Malaysia Today juga mendakwa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima maklumat tentang pembabitan tiga individu itu, termasuk Rosmah, dan menyerahkan laporan perisikan kepada menantunya dan juga naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan telah mengambil keterangan Rosmah dan dua lagi yang dikaitkan dengannya, seperti dalam akuan Raja Petra, yakni seorang yang didakwa berpangkat kolonel dan isterinya, yang juga pengawal peribadi isteri Najib.
Satu pasukan siasatan khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman merakamkan keterangan Rosmah di kediamannya kelmarin, kata pengarah siasatan polis persekutuan Datuk Bakri Zinin hari ini, lapor Bernama .
Beliau bagaimanapun dilaporkan enggan mengulas sama ada polis akan turut mengambil keterangan perdana menteri.
Abdullah semalam menafikan ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.
Perdana menteri dilaporkan berkata: "Memang saya concern (dengan dakwaan Raja Petra).
"Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul.
"Terutamanya dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya dari pihak perisikan tentera.
"Itu tak betul," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan jawatankuasa khas mempertingkatkan daya saing kelapa sawit di bangunan Parlimen.
Sementara Khairy, yang telah ditemui polis , menafikan pembabitannya hari ini.