Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak ada fakta yang menyokong dakwaan bahawa memakai gincu dan berkasut tumit tinggi menyebabkan wanita dirogol, kata Sisters in Islam (SIS).

"Larangan ini dibuat daripada sikap prasangka dan seharusnya berdasarkan kepada penyelidikan dan data.

"MPKB mengeluarkan dasar atau undang-undang kena ada fakta," kata penyelaras program SIS, Norhayati Kaprawi kepada Malaysiakini , mengulas laporan wujud larangan terbaru Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

malay muslim girl students tudung Bagaimanapun majlis itu hari ini menafikan mengeluarkan arahan larangan sedemikian seperti laporan media.

Etika berpakaian itu - termasuk bergincu dan berkasut tumit tinggi sehingga mengeluarkan bunyi - hanya sekadar nasihat yang tidak diperkuatkuasakan dalam peraturan di bandar itu, jelas pengarah perhubungan awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham.

Norhayati juga berkata, tanggapan umum mengaitkan jenayah ini dengan etika berpakaian adalah tidak benar.

"Orang yang memakai tudung pun kena rogol," katanya.

"Budak bawah umur pun kena rogol, apa kena-mengena gincu dengan kasut tumit tinggi?"

Beliau juga menegaskan, bergincu dan berkasut tumit tinggi dalam kalangan perempuan sudah lumrah.

"Tidak ada isu, kenapa nak kawal pilihan orang perempuan untuk memakai gincu dan kasut tumit tinggi," kata aktivis hak wanita itu.

"Adakah memakai kasut tinggi itu tidak Islamik?"

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula menganggap saranan kepada pekerja Islam itu satu langkah yang baik.

"Usaha MPKB itu usaha yang baik dan (isu itu) tidak perlu diperbesar-besarkan," kata presidennya Mohd Hilmi Ramli.

"Kalau betul menggunakan gincu lebih dan memakai tumit tinggi menyumbang kepada jenayah rogol dan zina, (amalan itu) wajar diharamkan."

Bagaimanapun, tambah Hilmi, beliau menyifatkan niat MPKB itu tidak menyelesaikan masalah sebenar.

"Ada faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya zina dan rogol seperti jalan berdua-duaan tanpa mahram dan berpasangan (di tempat tertutup) boleh berlaku zina dan rogol," katanya.

Menurutnya, pemakaian tudung tidak boleh dipaksa kepada semua orang perempuan.

"Mereka diberi pilihan dan (kerajaan) terus mendidik rakyat tentang pemakaian yang menepati syariah," katanya.

Norhayati juga menggesa kerajaan Kelantan menumpukan perkara-perkara yang lebih serius seperti soal kebersihan, kemiskinan dan memberi khidmat yang cekap kepada rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS