Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Media boikot liputan di lobi Parlimen
Diterbitkan:  Jun 24, 2008 12:01 PM
Dikemaskini: 7:17 PM

Petugas media di Parlimen tidak lagi dibenarkan membuat liputan berita di lobi Parlimen yang sebelum ini merupakan kawasan bagi menteri atau ahli Parlimen mengadakan sidang akhbar.

journalist media barred from parliament lobby area 240608 01 Pihak media yang tiba seawal jam 9.30 pagi ini dilarang berada di kawasan itu oleh petugas keselamatan Parlimen yang menjelaskan ianya arahan pejabat pentadbiran Parlimen.

Wakil-wakil media dimaklumkan mereka hanya dibenarkan berada di satu sudut di hujung ruang lobi yang telah ditetapkan sebagai kawasan sidang akhbar.

Larangan yang berkuatkuasa hari ini bermakna wartawan tidak lagi dibenarkan berlegar di kawasan lobi, di hadapan bilik rehat ahli Parlimen serta pejabat-pejabat menteri.

Kawasan itu turut diawasi beberapa pengawal keselamatan Parlimen, demikian menurut laporan Bernama.

Perkara itu telah mendapat perhatian Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang telah meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan sesi pertama persidangan hari ini supaya menarik balik larangan itu kerana ia menghalang tugas pengamal media.

"Saya menimbulkan perkara ini kerana saya telah menerima banyak aduan dari pihak media bahawa mereka telah dipinggirkan di luar dewan ke satu tempat yang agak terpencil di mana ia akan menjejaskan usaha mereka untuk menjalankan tugas," katanya.

'Tidak hormati media'

journalist media barred from parliament lobby area 240608 05 Lim berkata menjadi tugas wartawan membuat liputan menteri dan mendapatkan penjelasan mengenai apa-apa dasar yang diumumkan di dalam dewan.

"Saya rasa tindakan ini tidak menghormati peranan yang dimainkan oleh media massa dan akan menjejaskan usaha mereka untuk menjalankan tugas, oleh itu saya ingin menyeru kepada Datuk Yang Dipertua kalau boleh membenarkan mereka menjalankan tugasnya dengan baik, lancar dan teratur tanpa sebarang sekatan.

"Ini kerana ia tidak memenuhi hasrat kebebasan akhbar dan juga semangat Parlimen. harap larangan ini boleh ditarik balik," katanya.

Wan Junaidi pula berkata peraturan itu dibuat hasil kata sepakat berikutan perbincangan antara beliau, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan seorang lagi Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, pada sesi Parlimen yang lepas bagi memastikan keadaan di lobi teratur dan terkawal.

"Keadaan kadang-kadang bercelaru di lobi, (dan) berlandaskan (perbincangan) itu, berkemungkinan keputusan dibuat dan diberi kepada pegawai untuk melaksanakannya," katanya.

Wan Junaidi berkata memandangkan perkara itu telah dibangkitkan oleh Lim di dalam dewan, ia akan dibincangkan semula dan keputusannya akan diumumkan oleh Pandikar Amin dalam masa terdekat.

journalist media barred from parliament lobby area 240608 04 Jawapan Wan Junaidi itu menyebabkan Lim bangkit dan menyeru sekali lagi agar larangan itu dihentikan buat sementara waktu bagi menghormati peranan media yang banyak memberi sumbangan dalam membuat liputan persidangan.

Jumaat lalu, Parlimen turut mengeluarkan arahan mengehadkan hanya lima wartawan dari sesebuah organisasi media yang boleh membuat liputan persidangan "untuk tujuan keselamatan".

Berikutan itum, lebih 100 wartawan yang membuat liputan sidang Parlimen, telah mengadakan boikot.

Ini adalah kali pertama Parlimen menguatkuasakan peraturan seumpama itu. Tiada sebarang penjelasan diberikan kepada wakil-wakil media mengenai larangan tersebut.

journalist media barred from parliament lobby area 240608 06 Protes para wartawan itu akan menjejaskan sidang akhbar yang diadakan oleh ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat Kuala Lumpur untuk membincangkan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur. Sidang akhbar itu dijadual diadakan di Parlimen pada jam 12.45 tengahari.

Sidang akhbar tersebut kemudiannya dipindahkan ke pusat media.

Bagaimanapun, wartawan di situ memberitahu ahli-ahli Parlimen berkenaan, bahawa mereka akan hanya melaporkan tentang sesi parlimen.

MP BN alih halangan

Bagaimanapun, keputusan tersebut tidak dapat diterima, malah oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan sendiri.

Pada kira-kira jam 2.45 petang, beberapa orang penyokong kerajaan yang diketuai oleh Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) telah bertindak mengalihkan halangan tersebut.

Para wartawan bagaimanapun, tetap dengan keputusan mereka untuk meneruskan boikot kerana tidak ada pembatalan rasmi dari pihak pentadbiran Parlimen.

Apabila perkara tersebut dibangkitkan sekali lagi oleh Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) ketika sesi perbahasan petang, Speaker Pandikar Amin mempertahankan tindakan tersebut dan membidas wakil rakyat pembangkang yang membangkit isu tersebut.

Beliau bertanya kepada Guan Eng dan Fong sejak bila mereka berminat menjadi editor dan sama ada mereka yang memakai kad akhbar itu, benar-benar wartawan.

Menurut Speaker, beliau sedang menunggu reaksi dari pertubuhan media terhadap 'pertanyaannya' sama ada sesuai untuk menguatkuasakan peraturan yang menghadkan hanya lima wartawan sahaja dari setiap media membuat liputan sesi Parlimen.

Bagaimanapun, salinan notis yang dihantar kepada pertubuhan media minggu lalu, secara jelas menyatakan bahawa Parlimen telah memutuskan setiap akhbar hanya dibenarkan menghantar lima orang wartawan.

Selain wartawan, pembantu dan setiausaha akhbar kepada ahli-ahli parlimen juga tertakluk kepada peraturan keselamatan yang ketat - mereka tidak lagi dibenarkan mengedar kenyataan akhbar ke pusat media, tempat wartawan menyediakan dan menghantar berita mereka.

Hanya ahli Parlimen dibenarkan berbuat demikian, kata pegawai Guan Eng - Lim Swee Kuan - yang diarahkan oleh anggota keselamatan supaya meninggalkan pusat media.

Sidang akhbar PM terjejas

Protes tersebut turut menjejaskan sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari Kuala Lumpur.

Abdullah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai daya saing minyak kelapa sawit di banguna Parlimen manakala Najib pula mempengerusikan dua mesyuarat, termasuk mesyuarat pengurusan Umno.

Manakala ahli Parlimen Pakatan dari Kuala Lumpur pula mahu mengadakan sidang akhbar mengenai draf pelan bandaraya KL.

Bagaimanapun, kesemua sidang akhbar tersebut diboikot oleh para wartawan. Hanya agensi berita nasional, Bernama menghantar wartawannya membuat liputan di sidang akhbar terbabit.

Selepas mendapat tahu mengenai boikot tersebut, ahli-ahli Parlimen Pakatan pergi ke pusat media untuk mengadakan sidang akhbar mereka, tetapi diberitahu bahawa para wartawan hanya akan melaporkan sesi Parlimen sahaja.

Manakala majlis pelancaran lamanweb rasmi kerajaan 'Myblog.my" oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang dijadualkan diadakan di lobi Parlimen pagi esok, telah ditangguhkan ke tarikh lain ekoran boikot tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, enggan mengulas, apabila ditanya mengenai larangan tersebut.

Sebaliknya, Nazri berkata beliau hanya menjadi orang tengah dan tidak terbabit dalam hal tersebut.

NUJ bingung

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mendesak supaya larangan terhadap media itu ditarik balik dan wartawan dibenarkan bebas bergerak di Parlimen.

Presidennya, Norila Mohd Daud berkata, kesatuan itu menyifatkan larangan tersebut sebagai satu langkah yang tidak produktif dan boleh menyebabkan pihak media tidak dapat memberi liputan sepenuhnya terhadap sidang Parlimen.

Norila berkata peraturan larangan tersebut membingungkan dan tidak rasional kerana "Parlimen merupakan simbil demokrasi".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS