dikemaskini Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa mempunyai maklumat pembabitan isteri timbalan perdana menteri dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, akan disiasat polis.
Selain pengendali blog Malaysia Today , yang mengulangi tuduhannya itu dalam akuan bersumpah 18 Jun, turut disiasat Rosmah Mansor dan dua lagi nama yang dikaitkan - seorang pengawal peribadinya dan suami wanita terbabit yang didakwa "pakar bahan letupan C4".
Raja Petra, yang diseret ke mahkamah awal bulan lalu atas dakwaan serupa, mendakwa ketiga-tiga berada di lokasi jenayah sebelum wanita warga Mongolia diletupkan.
Dihubungi Malaysiakini Jumaat lalu, seorang pembantu Datuk Seri Najib Razak menyifatkan akuan bersumpah ini "memang membingungkan dan mengelirukan."
Pembantu itu mengakui pihaknya sedar kewujudan akuan bersumpah itu yang pertama kali muncul di internet.
Ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan berkata ketiga-tiga individu yang disebut dalam akuan bersumpah itu akan dipanggil polis, lapor laman web The Star hari ini.
Beliau juga berkata akuan penulis sensasi itu itu subjudice kerana perbicaraan kes Altantuya masih lagi berjalan.
Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Perbicaraan itu yang bermula Jun tahun lepas melibatkan dua anggota pasukan khas UTK dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda.
Jabatan Peguam Negara pula dilaporkan telah membuat aduan polis semalam berhubung akuan bersumpah tersebut.
Menurut laporan itu lagi, Tan Sri Abdul Gani Patil berkata dakwaan penulis itu "akan diteliti dengan serius" dan "jika benar (dakwaannya), kita akan bertindak."
"Jika tidak, penulisnya akan disiasat," beliau dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin - yang didakwa Raja Petra mengetahui maklumat tersebut setelah diberikan laporan perisikan tentera oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - akan merujuk peguamnya.
Menurut Agendadaily.com hari ini, beliau berkata perkara itu mempunyai implikasi undang-undang, maka beliau perlu berbincang dahulu dengan peguamnya.
Dalam akuan sumpahnya, pengendali blog itu juga mendakwa seorang Sultan mengetahui maklumat yang sama. Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama baginda.
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengarahkan peguamnya memberikan bantuan guaman kepada Raja Petra.
"Sebaik membaca perakuan sumpah Raja Petra dua hari lalu, saya segera menghubungi teman peguam memohon penjelasan," katanya di blog peribadinya semalam.
"Teman tersebut diminta memberikan bantuan guaman kapada Raja Petra. Agak sukar kita memberikan pandangan selain desakan agar siasatan polis rapi dan secara profesional."