Satu perhimpunan yang dirancang untuk mendesak Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu meletak jawatan yang disandangnya selama hampir 29 tahun, telah dibatalkan, walaupun ada yang datang berkumpul di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun tidak diketahui sebab-sebab mengapa perhimpunan tersebut dibatalkan.
Difahamkan, kumpulan tersebut kemudiannya mengalih kekecewaan mereka dengan menyertai satu perhimpunan membantah kenaikan harga minyak di Kelang.
Bagaimanapun sekumpulan aktivis hadir untuk menyatakan kekecewaan mereka terhadap keengganan Samy Vellu untuk meletak jawatan walaupun tewas di kerusi Parlimen Sungai Siput yang diwakilinya sejak tahun 1974, kepada calon PKR, Dr D Jeyakumar dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Menurut satu kenyataan yang difaks sebelum ini oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Makkal Sakthi, perhimpunan tersebut dirancang untuk "menghantar satu mesej yang lantang dan jelas" kepada Samy Vellu bahawa masyarakat India tidak lagi menyokong kepimpinannya.
"...dan semua ketua cawangan MIC akan menjadi tidak relevan jika mereka tidak menyuarakan sertimen kaum India."
Antara masalah yang disebut dalam kenyataan tersebut ialah Kurangny peluang pendidikan dan pekerjaan bagi kaum tersebut.
Apparao Ramadumala , 50, seorang ahli setia sejak 30 tahun yang lalu, adalah antara mereka yang hadir. Beliau menyuarakan kekesalan dan kekecewaannya yang amat sangat terhadap kepimpinan Samy Vellu.
"Ini bukan kekesalan peribadi saya terhadap beliau (Samy Vellu) tetapi masanya sudah tiba untuk beliau melepaskan jawatannya kepada orang lain yang lebih berkemampuan kerana masyarakat India tidak maju dan makmur di bawah kepimpinannya," kata Apparao.
‘Beliau tidak buat apa-apa'
"Kita begitu mempercayainya sebelum ini...kita gembira dengan apa sahaja yang kita terima kerana pada masa itu, kita percaya bahawa pemimpin kita akan menjaga keperluan kita," katanya.
"Untuk sekian lama beliau tidak berbuat apa-apa untuk faedah masyarakat India. Tetapi generasi muda tidak akan lagi berdiam diri dan membiarkannya berterusan... Mereka akan mempersoalkannya, sepertimana yang mereka lakukan ketika perhimpunan besar-besaran Hindraf," tambahnya.
Perhimpunan itu diadakan ekoran sikap dingin kerajaan terhadap masyarakat India di Malaysia.
Lebih 30,000 orang dari seluruh negara berhimpun di Kuala Lumpur pada 25 November 2007 untuk menyuarakan kekecewaan mereka dan menuntut hak yang sama.
Apparao menambah, beliau percaya, melalui pertukaran kepimpinan, MIC akan lebih maju dan mampu menangani masalah yang dialami oleh masyarakat India.
Walaupun demonstrasi hari ini dibatalkan, tetapi lebih 30 anggota polis ditempat di situ.
Ahli Jawatankuasa pusat MIC, S Murugesan, ketua Pemuda MIC Kual Lumpur, G Padman dan beberapa penyokong MIC turut berada di ibupejabat parti itu, apabila mendengar mengenai protes tersebut.
Samy Vellu percayai sedang berada di Selatan India.