Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (Pakatan) melakukan perubahan dalam sistem politik dan struktur kerajaan supaya berteras hak asasi manusia.
Pengarah Eksekutif Suaram, Yap Swee Seng mahu kerajaan membentuk rancangan negara berdasarkan hak asasi sebagai langkah bagi memperbaiki hak asasi negara mengikut cadangan Kongres Badan-Badan Bersatu di Vienna tahun 1993.
Pertubuhan itu percaya, kegagalan institusi kerajaan untuk melindungi dan mempertahankan hak asasi rakyat serta adanya pencabulan hak asasi menyebabkan berlakunya demontrasi.
"Begitu juga dengan perubahan percaturan politik, kerajaan gagal melakukan perubahan di tempat yang sepatutnya, terutamanya penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC)," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Yap berkata, suruhanjaya tersebut yang sepatutnya ditubuhkan pada dua tahun lalu masih tidak dilaksanakan.
Selain itu, katanya, skandal pita rakaman peguam V.K Lingam dan kes polis menembak peserta perhimpunan haram di Batu Buruk, Terengganu tahun lalu menunjukkan kerajaan hanya mempunyai sedikit keinginan untuk memperbaiki hak asasi negara.
Dalam majlis pelancaran Laporan Hak Asasi Malaysia 2007 hari ini, Yap berkata kurangnya rasa hormat kerajaan terhadap hak asasi dan demokrasi menyebabkan keganasan terhadap hak asasi semakin menjadi-jadi dan serius.
"Jumlah kematian dalam tahanan iaitu seramai 11 orang merupakan trend membimbangkan merupakan trend yang membimbangkan," katanya lagi.