Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini mengutuk tindakan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee ekoran kenyataannya bahawa parti itu akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri dalam sidang Dewan Rakyat yang disambung Isnin depan.

Perkara itu terkandung dalam kenyataan yang dibaca oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor selepas selesai mesyuarat tersebut yang berlangsung selama kira-kira 2.30 jam.

yong teck lee and sapp Menurutnya, parti komponen BN sebulat suara mengutuk kenyataan Yong kerana kenyataan itu tidak berprinsip, tidak etika dan bertentangan dengan permuafakat BN.

Menurut kenyataan tersebut, tindakan akan diambil terhadap SAPP selepas mendapatkan kenyataan rasmi dari parti tersebut.

Manakala semua ketua parti komponen BN diminta mempastikan ahli Parlimen mereka menghadiri setiap sesi Dewan Rakyat dan mengikut arahan ketua wip dan menolak usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Semua pemimpin parti komponen BN yang hadir turut menyatakan sokongan padu mereka kepada Abdullah.

Tawar jawatan senator

Abdullah memberitahu pihak media kemudiannya Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk tidak menyingkir Parti Maju Sabah (SAPP) kerana menganggap kenyataan presidennya, Yong.

"Setakat yang saya tahu, ini (kenyataan Yong) bukan pendirian parti itu. Ini kenyataan yang datang dari Yong Teck Lee sendiri. Sebab itu kita tidak ambil tindakan terhadap parti berkenaan," kata Abdullah.

Abdullah mempengerusikan mesyuarat tergempar Dewan Tertinggi BN itu yang berlangsung lebih 2.30 jam di Menara Datuk Onn untuk membincangkan kenyataan Yong.

Menjawab satu soalan, Abdullah berkata terpulanglah kepada SAPP untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Yong berikutan kenyataannya itu.

"Apa yang parti hendak buat keputusan berkaitan dengan apa yang dilakukan presiden itu, terserahlah kepada parti berkenaan," katanya

Abdullah juga berkata, tindakan akan diambil terhadap ahli-ahli Parlimen BN jika mereka menyertai usul undi tidak percaya tersebut.

Perdana menteri juga mendedahkan bahawa beliau telah menawarkan jawatan utusan khas kepada Yong.

Bagaimanapun, katanya, Yong telah menolaknya dan membuat kenyataan yang mengejutkan itu semalam.

Semalam Yong mengumumkan parti itu telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah dan akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri apabila sidang Parlimen disambung minggu depan.

SAPP mempunyai dua ahli Parlimen - Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawai) dan Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) - dan empat ahli dewan udangan negeri (Adun).

Bukan sebulat suara

Bagaimanapun, keputusan SAPP untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri, dipercaya bukan keputusan sebulat suara pucuk pimpinannya.

Timbalan Presiden, Raymond Tan - yang tidak hadir dalam sidang akhbar ketika Presidennya, Datuk Yong Teck Lee mengenai perkara tersebut semalam - berkata beliau "keliru dan malu" dengan tindakan SAPP itu.

Katanya, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam majlis tertinggi parti dan mendakwa ia adalah tindakan Yong sendiri.

Keempat-empat ahli dewan undangan negeri (Adun) SAPP tidak hadir di sidang akhbar tersebut.

SAPP akan mengadakan mesyuarat majlis tertingginya esok untuk memutuskan sama ada ia akan kekal atau keluar dari BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS