Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad tidak yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menubuhkan kerajaan baru selepas 16 September ini.

"Mengapa Anwar tunggu sehingga 16 September...mengapa tidak lakukan sekarang.

"Berapa lama orang politik boleh menunggu...lima hari, lima jam, lima minggu atau lima bulan," katanya ketika ditemui selepas sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu berkata, jika Anwar hendak mengambilalih kerajaan, hari ini beliau sudah ada kabinet bayangan.

"Atau, sekurang-kurangnya Pakatan Rakyat mempunyai seorang jurucakap untuk membuat kenyataan dalam isu-isu tertentu," katanya.

Shahrir juga mempersoalkan adakah DAP dan PAS boleh bekerjasama kerana mereka `dalam satu pakatan, mimpi lain-lain.'

"DAP gembira di Pulau Pinang dan PAS di Kedah. Ini bermakna mereka mempunyai perbezaan pegangan. Atau ia hanya mimpi Anwar," katanya.

Undi tidak percaya

Sementara itu dalam sidang akhbar tersebut, Shahrir berkata, tindakan Parti Progresif Sabah (SAPP) untuk membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai kabur.

"Saya tidak tahu bagaimana hendak membuat undi tidak percaya di Parlimen Isnin ini kerana hari itu kerajaan akan membentang usul mengenai kenaikan harga minyak dan makanan" katanya.

Shahrir berkata, beliau yakin tiada ahli Parlimen yang akan mengikut jejak dua ahli Parlimen dari SAPP itu.

Ahli Parlimen SAPP dilaporkan akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri apabila Dewan Rakyat bersidang Isnin ini.

Shahrir berkata, beliau tidak percaya SAPP boleh membawa ahli Parlimen BN lain meninggalkan parti kerana mereka tidak ada kepimpinan atau isu yang konsisten untuk berbuat demikian.

Katanya, beliau menyokong perdana menteri kerana boleh menghadapi tekanan dari mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kabinet Tan Sri Sanusi Junid.

Katanya, Abdullah masih membuat keputusan (untuk kekal sebagai perdana menteri) dan kerana itu beliau seorang yang sangat berjaya.

ADS