Kira-kira 90 peratus - separuh daripadanya ahli Pemuda Umno - yang mengunjungi blog pergerakan itu Saka Bangsa mengecam pimpinan pergerakan itu yang didakwa tidak responsif terhadap masyarakat.
Pengerusi sektretariat perhubungan media Pemuda Umno, Datuk Sazmi Miah berkata, pengunjung terbabit "memperkecil dan mengecam pimpinan pergerakan itu".
"Membaca komen-komen tersebut membuatkan cuping telinga kami menjadi panas. Banyak maki-hamun yang dilemparkan ke atas Pemuda.
"Dan sebahagian kecil pengunjung yang terdiri daripada kalangan bukan Melayu, telah membuat komen berunsur perkauman.
"Tetapi semuanya kami terima kerana Pemuda Umno mahu mendengar pandangan mereka terhadap pergerakan ini," katanya.
Blog Saka Bangsa dilancarkan oleh Sazmi yang juga exco pergerakan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 10 Jun lalu.
Blog ini akan membuka ruang untuk sebarang komen, pandangan, pendapat, kritik dan cadangan daripada semua, terutama generasi muda secara terbuka sehingga 20 Julai 2008 untuk mendapatkan maklumat dan senario yang lebih jelas untuk dimajukan kepada kepimpinan Pemuda Umno.
Isu Ezam
Bagaimanapun, Sazmi berkata, beliau tidak mempunyai angka jumlah pengunjung blog Saka Bangsa setakat ini.
Katanya, sebahagian besar pengunjung merupakan golongan profesional dari sektor swasta dan berusia antara 36 hingga 45 tahun.
"Isu kemasukan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor ke dalam Umno dan kenaikan harga minyak mendapat komen paling banyak, masing-masing 38 dan 39.
"Isu mengenai peralihan kuasa dan kritikan exco Pemuda Datuk Mukhriz Mahathir terhadap pucuk pimpinan parti, juga mendapat sambutan dari pengunjung," katanya lagi.
Beliau berkata, isu-isu yang dipaparkan di blog tersebut ialah mengenai isu-isu semasa terutama yang membabitkan Pemuda Umno.
Sazmi berkata, pihaknya mensasarkan untuk mendapat 50 komen dari pengunjung berhubung sesuatu isu.
Katanya, komen-komen yang dipilih akan diserahkan kepada pihak pengurusan tertinggi parti untuk tindakan lanjut.