Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Sri Sanusi Junid mendakwa setiausaha politik menteri kewangan sebagai dalang yang mencadangkan beliau dipecat daripada presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) awal bulan ini.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Kedah itu, enggan menyebut nama setiausaha politik terbabit dengan alasan tidak mengetahui namanya.

"Saya tidak tahu... tetapi setiausaha politik menteri kewangan hanya seorang sahaja," katanya ketika diminta memperincikan kenyataan medianya minggu lalu.

sanusi junid 050608 "Saya sebenarnya dipecat melalui saluran setiausaha politik menteri kewangan, yang kebetulan salah seorang ahli majlis UIA yang telah saya cadangkan kepada DYMM ketua perlembagaan UIA untuk menjadi wakil alumni di dalam majlis UIA," kata Sanusi minggu lalu.

Malaysiakini difahamkan, Datuk Reezal Merican Naina Merican memenuhi ciri yang digambarkan oleh bekas presiden universiti itu.

Bagaimanapun sejak minggu lalu Malaysiakini masih gagal mendapat reaksi beliau sehingga kini.

Sanusi mendakwa lagi, ahli majlis tersebut "bukan sahaja tidak rajin menghadiri mesyuarat majlis kerana terlalu sibuk, malah telah menggunakan kedudukannya untuk mengutamakan kepentingan orang tertentu."

"Dalam hal pemecatan saya, ahli majlis ini telah menjadi batu api dan seterusnya rajin menghubungi wartawan untuk mendapat kepastian yang segera daripada saya mengenai urusan pemecatan walaupun sebelum saya menerima dan memahami kandungan isi suratnya," katanya.

"Adakah wakil alumni di dalam majlis sudah berubah daripada menjadi jambatan antara UIA dan perdana menteri kepada menjadi punca kekeliruan yang menggembar-gemburkan perkara pemecatan ini melalui wakil media sebelum surat pemecatan diumumkan oleh UIA?

"Adakah seorang setiausaha politik menteri kewangan yang duduk di dalam majlis UIA mempunyai kuasa dan mengetahui lebih dalam hal ini daripada anggota kabinet?"


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS