Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata tarikh tepat berhubung peralihan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum ditetapkan lagi.
Perdana Menteri berkata sepertimana yang diperjelaskannya semalam, beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Najib apabila tiba masanya sepertimana yang difahami oleh kedua-dua mereka.
Abdullah yang ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, ketika ditanya lanjut berhubung perkara itu, sambil tersenyum berkata:
"Nak jelas apa lagi, You (wartawan) tak faham lagi..Ohh dah faham tapi nak tanya lagi...(nak tanya) bila.
"Saya (sudah) terang (jelaskan) semalam, itu sudah jelas, bahawasanya saya dan Datuk Seri Najib memang memahami peralihan kuasa akan dijalankan dalam keadaan yang baik, elok dan tersusun dan tidak menimbulkan apa-apa masalah.
"Dan yang keduanya, yang tetapnya tentu sekali saya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib kerana dialah saya akan pilih (sebagai) pengganti saya," katanya.
Menurut laporan Bernama, Abdullah menegaskan peralihan kuasa itu akan dilakukan sebagaimana kedua-dua mereka memahaminya berhubung perkara itu.
"Tarikh yang tepat belum ditentukan, bila masa tiba, peralihan itu akan dilakukan sebagaimana kami kedua-dua memahami," katanya.
Semalam, Abdullah berkata beliau dan Najib telah sepakat menentukan masa yang terbaik untuk peralihan kuasa itu.
Ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai kanan kerajaan, Abdullah berkata:"Saya dan Najib telah bermuafakat dan kita berdua telah bersetuju bilakah masanya saya bersara dan bilakah masanya Najib akan ambil alih sebagai Perdana Menteri."