Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Enam orang, termasuk tiga ahli Parlimen PKR ditahan, dipercayai kerana mempertikaikan tindakan polis melarang sekumpulan 70 orang penyokong Hindraf berhimpun di depan Istana Negara.

Kumpulan itu termasuk 48 kanak-kanak yang membawa ‘teddy bear' untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Bapa hari ini.

Ia merupakan tindakan simbolik bagi mencerminkan anak-anak kepada tahanan ISA yang tidak dapat menyambutnya bersama bapa masing-masing yang ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

Antara yang ditahan di Kamunting ialah lima pemimpin Hindraf itu - M Manohan, P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar.

Mereka ditahan pada 13 Disember tahun lalu, selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Seorang daripada mereka, Manoharan bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu atas tiket DAP dan menang kerusi negeri Kota Alam Shah.

palace arrested mp 140608 Beliau memperolehi 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Sementara itu, tiga ahli parlimen PKR yang ditahan itu ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Sivarasa Rasiah (Subang) dan PKR S Manikavasagam (Kapar).

Sivarasa adalah naib presiden PKR. Zuraidah adalah ketua Wanita PKR, manakala Manikavasagam pula adalah anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Tiga orang lagi ialah N Surendran (penasihat undang-undang Hindraf); Salmah Ismail (setiausaha Zuraida) dan Loude Mary (aktvis Hindraf).

kira-kira 70 anggota polis termasuk 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), berkawal di luar Istana Negara.

Sivarasa ditahan pada kira-kira jam 10.25 pagi manakala Zuraida pula ditahan lima minit kemudiannya. Keenam-enam mereka kemudiannya dibawa dengan kenderaan polis ke balai polis Brickfields.

Pada kira-kira jam 10.40 pagi, kumpulan tersebut tiba dengan menaiki bas yang berhenti kira-kira 100 meter dari istana.

palace teddy bear 140608 bears Mereka kemudian berjalan beramai-ramai menuju ke Istana Negara, termasuk kira-kira 30 orang dewasa yang memakai lencana Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf).

Mereka turun melaungkan 'Daulat Tuanku' dan 'bebaskan tahanan ISA.

Berunding dengan polis

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan menghampir istana oleh anggota polis yang mengawal kawasan tersebut.

Kemudian, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu tiba dan berunding dengan pegawai polis di situ. Turut berada di situ ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman dan Ketua Polis Brickfield, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

palace teddy bear 140608 kids police Sejurus selepas itu, Muhammad membenarkan kanak-kanak tersebut bergerak menuju ke pintu utama istana untuk menyerahkan 'teddy bear'.

Difahamkan, usaha untuk menghubungi pihak istana untuk menghantar wakil menerima hadiah dari kanak-kanak tersebut, tidak berjaya.

Ekoran itu, mereka mengambil keputusan untuk menyerahkan 'teddy bear' dan sedulang pisang kepada Ronnie sebagai mewakili kerajaan Selangor.

Mereka kemudiannya meminta kerajaan negeri mengatur untuk menyerahkan 'teddy bear' tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kumpulan tersebut kemudiannya bersurai pada kira-kira jam 11.30 pagi. Perhimpunan pagi ini berjalan secara aman.

Manakala tiga ahli Parlimen PKR dan tiga lagi yang ditahan itu, dibebaskan kemudiannya dengan jaminan sendiri, dan dilihat keluar dari balai polis Brickfields pada kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Sementara itu, Wan Abdul Bari kemudiannya memberitahu wartawan, mereka ditahan kerana didakwa menghalang anggota polis menjalankan tugas mereka.

Saksi video


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS