Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hatta: Merah 'simbol Protes rakyat'
Diterbitkan:  Jun 13, 2008 4:41 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) mengambil warna merah sebagai melambangkan kemarahan orang ramai dan bantahan mereka, demikian diputuskan gabungan itu dalam mesyuaratnya.

Ia juga mengumumkan tarikh baru petang 5 Julai untuk perhimpunan di KLCC, menyegerakan seminggu lebih awal dari tarikh asal 12 Julai.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Protes turut mengumumkan sasaran baru sejuta peserta perhimpunan dan ia dinamakan 'Perhimpunan Aman Protes Sejuta Rakyat'.

Penyelarasnya Dr Mohd Hatta Ramli berkata, logo baru demonstrasi besar-besaran itu akan dilancarkan Rabu depan yang menggambarkan "simbol kesatuan rakyat".

Logo itu akan digunakan pada setiap peralatan dan bahan sempena perhimpunan, katanya, seperti diputuskan gabungan itu dalam mesyuaratnya petang semalam.

petrol price hike proyest kg baru sogo 130608 02 "Sebagai penganjur perhimpunan aman yang bertanggungjawab, Protes kini dalam rangka perbincangan hal-hal teknikal bagi memastikan kelancaran perjalanan perhimpunan tersebut," katanya.

Protes akan memaklumkan dalam tempoh terdekat laluan-laluan dan tempat-tempat letak kenderaan khususnya rombongan peserta yang datang dari luar Kuala Lumpur, kata Dr Mohd Hatta.

Sementara para peserta yang berada di sekitar Lembah Kelang dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam dari tempat masing-masing untuk ke KLCC.

"Protes berharap polis akan memberi kerjasama menjayakan perhimpunan aman ini.

"Protes ingin menyatakan kesediaan kami untuk berbincang dengan polis bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dijangka akan berlaku," tambahnya.

Sementara itu, kira-kira 2,000 penyokong pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat menyertai demonstrasi hari ini (foto atas) dalam satu perarakan terbesar sejak pengumuman kerajaan Rabu minggu lepas.

Mereka bergerak dari masjid Kampung Baru ke Kompleks Pertama setelah gagal berarak ke Suria KLCC, seperti dirancang.

Dalam tempoh seminggu kenaikan harga itu, beberapa demonstrasi kecil pernah diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, antaranya di Kuching, Ipoh, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS