Konvensyen menuntut dikembalikan royalti petroleum Terengganu yang menampilkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Salleh Abbas boleh ditonton secara langsung di internet Sabtu ini, kata penganjurnya.
Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) akan menyiarkan program sehari yang bermula 9 pagi di blognya (www.mampat.blogspot.com).
Difahamkan, saluran-saluran televisyen web tvPAS.com , Tranungkite.net dan Terengganukini.net akan turut menerbitkan siaran yang sama.
Pengerusinya Mohd Fauzi Abu Samah memberitahu Malaysiakini hari ini, ahli parlimen Gua Musang dan bekas ketua hakim negara yang akan membentangkan kertas kerja masing-masing telah mengesahkan kehadirannya.
Walaupun sambutan orang ramai terhadap konvensyen itu sangat menggalakkan, tambahnya, Mampat tetap mengadakan siaran langsung itu untuk tontonan khalayak yang lebih luas.
"Kita mendapat permintaan daripada anak-anak Terengganu di luar seperti Perantau (Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan). Saya optimis seramai 50,000 akan menontonnya. Paling kurang, 20,000 ribu tidak akan ada masalah," kata Mohd Fauzi.
Mohd Fauzi berkata, bekas ketua hakim negara itu telah menghantar kertas kerja berkaitan sejarah royalti minyak di Terengganu.
"Tun Salleh dah serah. Ku Li (Tengku Razaleigh) akan serah esok," katanya.
Mengulas isi kandungan pembentangan itu, Fauzi menjawab ringkas:
"Beliau (Salleh) menceritakan tentang sejarah royalti minyak di Terengganu. Menarik kertas itu, ada perkara yang beliau cerita, kita tidak pernah dengar."
Tengku Razaleigh merupakan orang yang menandatangani surat cara penyerahan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan berhubung petroleum Terengganu daripada kerajaan negeri kepada Petronas pada Mac 1975. Beliau ketika itu adalah pengerusi dan ketua eksekutif Petronas.
Salleh pula terlibat menyediakan draf Akta Penggunaan Petrolium 1974 sewaktu beliau sebagai peguam cara negara di Pejabat Peguam Negara.
Mohd Fauzi menambah, setakat ini 350 peserta telah mengesahkan kehadiran ke konvensyen itu.
"(Sambutan) ini melebihi sasaran kita. Dulu kita sasarkan 200 orang sahaja. Hari ini pun ada lagi yang buat pengesahan melalui laman web. Kita akan lihat balik (angka sebenar)," katanya.
Sesi forum di sebelah petangnya melibatkan pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali, pensyarah Universiti Malaya, Datuk Mohamad Abu Bakar dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Ia diadakan secara terbuka untuk penyertaan awam.
Konvensyen ini sebahagian kempen Mampat untuk menuntut wang royalti petroleum sebanyak lima peratus dikembalikan kepada kerajaan negeri.
Pertubuhan itu sebelumnya melancarkan kempen tandatangan (foto kanan) menyokong tuntutan sejak 24 Mei lepas, termasuk digerakkan di masjid-masjid seluruh Terengganu.
Mampat antara kumpulan penting berkempen menyokong pihak istana ketika krisis perebutan jawatan menteri besar Mac lalu.
Sebulan selepas dilantik menteri besar, Datuk Ahmad Said menggesa wang diserahkan kepada Terengganu daripada kerajaan persekutuan.
Wang ini ditadbir kerajaan pusat mulai tahun 2000 dengan nama Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih popular disebut "wang ehsan"
Sebanyak RM3 bilion wang ini sekarang dilaporkan "hilang" apabila Ahmad dan bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh tidak tahu-menahu bagaimana ia dibelanjakan, sementara kerajaan pusat tidak memberikan sebarang penjelasan.
Sabtu ini, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan sesuatu yang "positif" berhubung isu ini sewaktu lawatannya ke negeri itu.