Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti Disember depan.

najib tun razak Katanya, beliau tidak akan berbuat demikian kerana beliau adalah seorang ahli parti yang sejati dan mahukan peralihan kuasa berlaku mengikut tradisinya.

Lagi pula, tambahnya, Umno kini dalam keadaan paling lemah dan cabaran seumpama itu akan melemahkan lagi parti tersebut dan menjejaskan kekuatannya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Saya tidak mahu mewarisi parti dan berdepan dengan kekalahan," katanya di London, dalam satu majlis di Chatham House, sebuah kumpulan pemikir terkemuka dalam isu-isu antarabangsa.

Najib yang juga timbalan presiden Umno, secara berseloroh berkata, beliau tidak mahu menjadi seperti Perdana Menteri Britain, Gordon Brown - yang sebelum berkuasa dikenali sering melemahkan bossnya Tony Blair - disambut gelak ketawa para hadirin.

Najib turut mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya sebagai penakut kerana tidak mencabar Abdullah.

Dalam hal tersebut, Najib berkata, ianya bukan soal berani atau takut.

‘Nilai-nilai teras

Sebaliknya, anak lelaki perdana menteri Malaysia yang kedua - Tun Razak Hussein -berkata, beliau adalah seorang yang mempunyai 'nilai-nilai teras'.

Sehubungan itu, Najib berkata, bapanya membina parti tersebut, dan beliau selaku anaknya, tidak mahu menghancur parti yang sama.

Ketika sesi soal jawab, Najib ditanya mengenai justifikasi pemotongan hanya 10 peratus elaun keraian menteri kabinet, dan pembekuan percutian yang ditanggung kerajaan ke negara-negara di rantau Asean.

Dalam jawapannya, Najib mempertahankan tindakan tersebut dengan mengatakan bahawa menteri kabinet tersebut "sudahpun bergaji rendah".

Najib juga mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan tahanan tanpa bicara, yang disifatkannya sebagai satu senjata utama pertahanan negara untuk menghadapi ancaman keganasan di peringkat serantau dan global.

Bagaimanapun, dalam ucapannya, beliau tidak menyebut ISA secara khusus, tetapi merujuknya sebagai "satu undang-undang pencegahan" yang diperkenalkan oleh British ketika menentang komunis dahulu.

Pembuka mata

Menurut Najib, kerajaan tidak menyalahgunakan undang-undang tersebut.

Mengenai pilihanraya umum 8 Mac lalu, Najib mengakui ia dalah satu 'titik perubahan' bagi Barisan Nasional (BN), yang mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarahnya.

Ia juga, kata Najib, menjadi pembuka mata kepada kepimpinan BN.

Mengenai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib berkata, bekas timbalan perdana menteri itu sedang bermain politik.

Menurutnya, pemimpin pembangkang itu berkata beliau akan menubuhkan kerajaan - pada bulan Mac, April dan September.

"Kami yakin akan terus memerintah," kata Najib.

Beliau juga memberi jaminan kepada ahli-ahli perniagaan yang hadir di majlis tersebut bahawa mereka tidak perlu bimbang untuk melabur di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS