Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Sri Sanusi Junid menuduh perdana menteri mempengaruhi Sultan Pahang agar memecat beliau sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau berkata Sultan Pahang sebagai ketua perlembagaan universiti itu "hanya boleh memberhentikannya atas nasihat" Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Memandangkan hubungan yang cukup baik antara saya dengan ketua perlembagaan UIA, sudah tentu tindakan (pemecatan saya) ini tidak dibuat atas kehendak DYMM Tuanku sendiri," katanya hari ini.

sanusi junid 050608 "Tempoh perkhidmatan saya masih ada dua tahun lagi, tiada kesalahan (saya) yang dinyatakan, bererti penamatan tempoh khidmat saya daripada jawatan presiden UIA, dengan serta-merta ini, adalah satu pemecatan disebabkan desakan beberapa pihak yang berkepentingan."

Tambahnya, bahagian IV perkara 20 (iii) perlembagaan universiti itu menunjukkan pemecatannya akibat nasihat atau desakan perdana menteri.

Dalam kenyataannya, Sanusi berkata beliau dipecat dalam satu surat bertarikh 2 Jun tetapi surat tersebut diserahkan kepadanya semalam.

"Surat pemecatan saya ... tanpa menunjukkan sebarang sebab oleh sesiapa pun, secara lisan atau tulisan," katanya.

Beliau menambah, dakwaannya itu diperkuatkan lagi oleh kenyataan menteri pendidikan tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada minggu lalu bahawa tiada pihak yang mendesak bekas menteri besar itu berhenti dan kuasa menamatkan khidmatnya hanya ada pada ketua perlembagaan UIA.

Sanusi berkata, kenyataan Mohamed Khaled pada 7 Jun dan hari ini "menunjukkan beliau (menteri) tidak dirundingi dahulu sebelum surat (pemecatan) dikeluarkan."

Bekas menteri pertanian itu menambah, sidang media dan kenyataan akhbarnya pada 5 Jun lalu bukanlah untuk "membuat sensasi untuk menarik perhatian orang."

Sanusi mendakwa laporan sebuah akhbar hari ini yang menyebut beliau sebagai berkata "tiada siapa yang boleh memecatnya (Sanusi) sehingga tempoh perkhidmatannya tamat pada 2010" sebagai fitnah.

Beliau juga berkata, bahawa beliau tidak bersalah kerana tidak pernah menggunakan jawatan tersebut untuk kepentingan peribadi.

Jawatannya di UIA mula diperkatakan orang selepas beliau mengumumkan keluar daripada Umno bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mei lalu.

Sehari selepas tindakannya, beliau tidak menghadiri majlis perasmian sambutan ulang tahun ke-25 UIA oleh perdana menteri dan sikapnya itu dipersoalkan beberapa pihak.

Minggu lalu, Sanusi menjelaskan ketidakhadirannya itu "telah mendapat restu ketua perlembagaan untuk mengelak daripada membuat ucapan memuji-muji Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pengasas UIA."

Menurut akhbar, ketua setiausaha negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah dilantik menggantikan Sanusi berkuatkuasa tarikh pemecatannya.

KSN dilaporkan telah menerima watikah pelantikan yang ditandatangani oleh Sultan Ahmad Shah.

Salinan watikah telah dihantar oleh rektor UIA profesor Datuk Dr Syed Arabi Idid kepada ketua setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hassan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS