Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi gesaannya agar sistem kuota pencalonan jawatan-jawatan utama dalam pemilihan Umnp tidak diteruskan kerana ia boleh menggalakkan rasuah.
"Saya berpendapat sebaik mungkin cari jalan agar sistem ini tidak diteruskan kerana selain ia tidak sesuai, ia boleh menggalakkan amalan rasuah politik.
"Apabila seseorang bertanding, dia perlu mendapat sejumlah pencalonan contohnya 30 peratus, tetapi baru dapat 10 peratus dan kurang 20 peratus lagi, tidakkah mungkin terdorong mereka untuk menggunakan wang supaya dapat pencalonan dan ini ternyata amalan tidak sihat," naib presiden Umno itu dilaporkan berkata.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang kecewa kerana cadangannya agar Umno menghapuskan sistem kuota untuk melayakkan seseorang bertanding tidak mendapat sokongan, lapor Bernama .
Muhyiddin menambah, kuota tidak dapat dihapuskan sekarang kerana sedikit sahaja bahagian Umno yang menuntut mesyuarat agung khas (EGM) diadakan.
"Setakat ini tidak berlaku kerana hanya beberapa bahagian saja yang bersidang (mengakan EGM) dan ini tidak memenuhi kehendak dalam perlembagaan," katanya.
"Kedua, MT sendiri yang buat keputusan untuk pinda dan ini tidak berlaku kerana mungkin pihak-pihak dalam MT tidak melihat ini sebagai satu keperluan."