"Apakah benar pembekal bas RapidKL dan Rapid Penang ialah M-Trans yang dimiliki 100 peratus oleh Scomi yang dimiliki oleh si polan-si polan yang mempunyai talian kekeluargaan dengan pemimpin besar negara?"
Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan soalan itu dalam dakwaan pembabitan syarikat milik anak perdana menteri dalam isu longgokan kira-kira 1,000 bas RapidKL yang tersadai seperti dilaporkan sebuah akhbar bulan lalu.
Isu itu juga dibangkitkan oleh Datuk Bung Mokhtar Radin (BN- Kinabatangan) di Dewan Rakyat pada 27 Mei lalu, hari sebuah akhbar membangkitkan isu longgokan bas tersebut di Rawang, Selangor.
Selain itu, mantan perdana menteri juga mendakwa Scomi tidak dapat membekalkan bas-bas seperti dipesan oleh RapidKL dan "oleh itu Scomi dibenar import bas dari China."
"Apakah harga import dan harga jualan kepada RapidKL? Apakah syarikat lain dibenar import bas baru dari luar negeri? Apakah duti import yang dibayar?" katanya dalam catatan terbaru di blognya hari ini.
Dr Mahathir berkata, bas-bas tersebut yang dilaporkan asalnya milik Intrakota dan City Liner yang telah diambil alih oleh RapidKL.
"Bas-bas ini masih boleh diguna atau boleh diperbaiki dan dijual oleh RapidKL," katanya.
"Tetapi RapidKL tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat balik sedikit pun daripada kos pembelian syarikat-syarikat ini. Kenapa?
"Apakah RapidKL begitu untung dan boleh menanggung rugi yang tidak kecil daripada menjadikan bas-bas yang dibeli olehnya
sebagai besi buruk?"
Dr Mahathir juga berkata Rapid KL sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan melibatkan wang rakyat harus mendedahkan untung rugi operasinya kepada orang ramai.
"Tetapi kita tidak pernah melihat kira-kira untung ruginya. Untung besarkah RapidKL dan Khazanah (yang mengambil alih syarikat itu)?" kata bekas presiden Umno.
"Saya ingin tahu siapakah yang membekal bas-bas ini. Saya percaya pembekal bas-bas ini meraih keuntungan yang besar kerana begitu banyak bas yang jelas dibeli oleh RapidKL.
"Mungkinkah pelupusan dan write-off begitu banyak bas-bas lama adalah supaya bas baru dapat dibeli daripada pembekal tertentu?
"Jika ya, nampaknya RapidKL diadakan untuk menguntungkan pembekal."